Guru mengaji hadapi 17 tuduhan rogol, amang seksual dua beradik



BUTTERWORTH: Seorang guru mengaji al-Quran mengaku tidak bersalah Mahkamah Sesyen berasingan di sini hari ini atas 17 tuduhan rogol dan amang seksual terhadap dua beradik sejak tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Ashaari Ibrahim, 74, yang memakai kemeja putih, berkain pelikat dan berkopiah membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof dan Norhayati Mohd. Yunus.

Mengikut enam pertuduhan di hadapan Hakim Noor Aini, dia didakwa merogol seorang kanak-kanak yang ketika itu berusia tujuh tahun di Jalan Baru di sini antara 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2020.


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 376(1)(e) yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Ashaari turut didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi 11 lagi pertuduhan di hadapan hakim Norhayati, tertuduh didakwa merogol dan melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak berusia lima tahun yang juga kakak kepada mangsa pertama.

Mengikut pertuduhan, Ashaari didakwa melakukan perbuatan itu di lokasi sama antara 1 Januari 2014 sehingga Mac 2021.


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 376(1)(e) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aisyah Al Humayrah Kamarulzaman dan Muhamad Syeqal Che Murat.

Dalam pada itu, kedua-dua hakim turut membenarkan permohonan pendakwa raya supaya tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 29 Julai depan bagi sebutan semula kes dan lantikan peguam. – Utusan



Join our Telegram Channel
Telegram