Ladang tutup, tiada bekalan ayam lagi



GEORGE TOWN – Baru sahaja mahu menarik nafas lega, peniaga ayam di negeri ini sekali lagi berdepan tekanan selepas golo­ngan penternak mahu menutup operasi ladang selama dua hari bermula esok.

Penutupan tanpa alasan munasabah itu dimaklumkan pembekal sekali gus bakal me­nyaksikan kekurangan bekalan di peringkat peniaga.

Seorang peniaga ayam di Dae­ah Barat Daya dikenali Rina, 42, berkata, dia kemungkinan besar terpaksa menutup sementara operasi perniagaannya pada hari tersebut berikutan ketiadaan bekalan ayam untuk dipasarkan kepada pelanggan.

Menurutnya, penutupan premis itu bagi mengelak berdepan kerugian kos ha­rian dan masa operasi termasuk pembayaran gaji pekerja serta bil utiliti.


“Kami baru hendak berlapang dada setelah bekalan ayam kembali mencukupi sehingga ada yang terlebih dihantar pihak pembekal semalam (kelmarin).

Berita berkaitan:  Bekalan cukup, harga ayam boleh dikawal

“Bagaimanapun hari ini (semalam), kami dimaklumkan pula tentang penutupan ladang selama dua hari sehingga Ahad ini tanpa sebarang alasan munasabah daripada pihak pembekal.

“Tak mungkin kami hendak menjual hanya 20 atau 30 ekor ayam standard yang sedia ada atau dihantar daripada pembekal lain pada hujung minggu ini. Buang masa buka kedai jika bekalan ayam diterima terlalu sedikit,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Sementara itu, seorang lagi peniaga ayam di Pasar Awam Chowrasta, Mohamad Nasir Abdul Kalam, memberitahu, dia belum boleh menarik nafas lega dengan isu bekalan ayam stan­dard ketika ini.



Ini kerana katanya, khidmat pesanan ringkas yang diterima daripada pembekal memberi tekanan buat golongan peniaga.

“Hari ini (semalam) kami mene­rima bekalan mengikut kuantiti diminta berbanding sebelum ini.

“Namun kelegaan itu tidak berpanjangan dan kini saya dibelenggu keresahan apabila pembekal memberitahu bahawa mereka tidak dapat menghantar bekalan mencukupi kerana kekurangan stok.

“Keadaan ini menyukarkan kami dan juga pengguna yang mahu mendapatkan bekalan,” ujarnya. – Kosmo

 

Join our Telegram Channel
Telegram