Mahathir gesa bubar UMNO, sertai Bersatu – Zahid



KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, lima pertemuan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad bukan bertujuan membangkitkan isu pendakwaan kes mahkamah, sebaliknya untuk membincangkan hala tuju dan peluang kerjasama di antara UMNO dan Bersatu.

Presiden UMNO mendakwa, dalam beberapa pertemuan itu Dr. Mahathir telah menggesa beliau untuk membubarkan UMNO manakala ahli-ahlinya menyertai Bersatu.

Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri, antara pertemuan itu berlaku di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 7 Jun 2018 sempena bulan Ramadan manakala pertemuan pada 13 September 2018 turut dihadiri oleh Ahli-Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang lain termasuk Datuk Seri Mohamad Hassan.

Ujar beliau, pertemuan lima kali antara 7 Jun 2018 dan 25 Februari 2020 turut berlaku di beberapa lokasi termasuk kediaman Dr. Mahathir di Mines Resort City, Seri Kembangan dan Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra.


Dakwa Ahmad Zahid, perjumpaan itu susulan desakan daripada akar umbi UMNO yang mahukan perubahan dalam hala tuju parti bagi membincangkan kemungkinan kerjasama antara UMNO dan Bersatu dalam jangka masa pendek atau panjang.

Menurut beliau, mustahil pertemuan pada 7 Jun 2018 itu bagi membangkitkan kes prosiding jenayah terhadapnya kerana ketika itu plaintif (Ahmad Zahid) masih belum didakwa bagi sebarang pertuduhan jenayah atau dipanggil untuk siasatan.

Ahmad Zahid dituduh di Mahkamah Sesyen di sini pada 19 Oktober 2018 atas 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram. Kes itu masih dibicarakan pada peringkat bela diri.

Ahmad Zahid juga mendakwa, mustahil pertemuan itu berkaitan isu peribadi berhubung prosiding mahkamah dengan kehadiran ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang lain yang sudah tentu akan memberi kesan kepada nama baik dan integriti beliau selaku Presiden UMNO.

Pernyataan itu turut menyebut, Ahmad Zahid mengadakan beberapa siri pertemuan dengan Dr. Mahathir pada Februari 2020 dan Februari lalu yang turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin politik lain.


Sehubungan itu, beliau menyatakan berdasarkan perkembangan politik yang berlaku sekitar Februari 2020 dan 12 Mac lalu, jelas bahawa pertemuan dengan Dr. Mahathir bukan berkaitan prosiding jenayah, sebaliknya untuk menyelesaikan kemelut politik ketika itu.

Ahmad Zahid menyatakan demikian dalam jawapan kepada pernyataan pembelaan yang difailkan oleh Dr. Mahathir. Jawapan itu difailkan pada 31 Mei lalu.

Beliau memohon mahkamah menolak pernyataan pembelaan itu itu atas alasan pernyataan itu cacat, remeh, menyusahkan dan bertentangan dengan Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Ahmad Zahid selanjutnya mendakwa, kenyataan defendan ketika soal jawab bersama wartawan selepas majlis itu jelas dibuat dengan niat menjatuhkan reputasi dan nama baiknya sebagai ahli politik yang memegang jawatan tertinggi dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ujarnya, kenyataan fitnah itu dibuat dengan niat jahat kerana ia tidak benar, tidak berasas, jahat dan bersifat menghina terhadap plaintif.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 5 Julai ini bagi mendengar permohonan Ahmad Zahid untuk mendapatkan perintah injunksi interim bagi menghalang Dr. Mahathir daripada terus mengeluarkan kata-kata fitnah terhadap beliau.


Tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Nor Afidah Idris pada sesi pengurusan kes yang turut dihadiri oleh peguam Aina Dalila Daman Huri yang mewakili Ahmad Zahid manakala Mior Nor Haidir Suhaimi mewakili Dr. Mahathir.

Ahmad Zahid Hamidi memfailkan saman fitnah terhadap Dr. Mahathir berhubung dakwaan beliau meminta bekas Perdana Menteri itu mencampuri urusan kes yang sedang dihadapinya di mahkamah.

Presiden UMNO berkata, pada 23 Februari lalu, Dr. Mahathir telah mengeluarkan kenyataan palsu dan disifatkan berbaur fitnah dalam suatu Majlis Pelancaran Aspirasi Parti Pejuang sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-15 di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Ahmad Zahid berkata, pada hari yang sama, rakaman video majlis berdurasi 56 minit dan 46 saat itu telah diterbitkan secara langsung di Akaun Youtube Astro Awani.

Rakaman kenyataan palsu defendan itu katanya, telah diterbitkan oleh pelbagai portal berita antaranya Tiktok MalaysiaGazette TV, Berita Harian Online, Malaysia Now dan The Malaysian Reserve.

Dakwa plaintif, setakat tarikh writ saman dan pernyataan tuntutan itu difailkan, rakaman video majlis tersebut telah mendapat jumlah tontonan sebanyak 23,443 kali dengan akaun Youtube Astro Awani mempunyai 1.44 juta pelanggan.


“Kenyataan itu menunjukkan bahawa saya menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguh perbicaraan jenayah yang masih berjalan,” kata Ahmad Zahid.

Saman tersebut merupakan tindakan undang-undang kedua yang difailkan oleh Ahmad Zahid terhadap pemimpin parti politik berhubung isu sama.

Pada 5 April lalu, Presiden UMNO menfailkan saman fitnah terhadap bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan beliau meminta bantuan untuk menyelesaikan atau menangguhkan perbicaraan kes jenayah yang masih berjalan di mahkamah. – Utusan


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram