Terima cadangan #PRU15 awal, petanda PAS akan tinggal PN



PETALING JAYA: Penganalisis membuat spekulasi bahawa PAS sudah bersedia untuk bergerak secara solo pada pilihan raya umum akan datang (PRU15).

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, ini dapat dilihat menerusi pengisytiharan Presiden PAS Abdul Hadi Awang bahawa parti itu terbuka kepada idea PRU awal.

Kenyataan Hadi itu katanya, boleh ditafsirkan sebagai langkah parti itu menjarakkan diri daripada sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN), iaitu Bersatu, yang tidak mahu PRU diadakan sebelum masanya.


“Dengan cadangan dari dalam parti untuk menggunakan logo sendiri dan ditambah dengan kenyataan Hadi bahawa parti itu tiada masalah jika PRU15 disegerakan, ini membayangkan PAS tidak sehaluan dengan kehendak Bersatu,” katanya kepada FMT.

Jumaat lepas, Hadi berkata, walaupun secara dasarnya PAS bersetuju PRU15 patut diadakan pada akhir penggal Parlimen, ia boleh disegerakan jika timbul keperluan bagi sebuah kerajaan yang lebih kukuh.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pandangan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa masa terbaik untuk mengadakan PRU15 adalah pada Julai 2023.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai cadangan sesetengah pihak dalam PAS supaya parti itu menggunakan logo sendiri pada PRU15, Hadi berkata, itu hanyalah pandangan peribadi mereka.

Setakat ini, parti masih menggunakan logo Perikatan Nasional (PN), tambahnya.


Azmi memberi amaran jika PAS bertanding secara bersendirian pada PRU15, ia mungkin melemahkan peluangnya kerana perlu bersaing dengan Umno dan Bersatu untuk meraih undi orang Melayu.

Katanya, langkah terbaik untuk PAS dalam menghadapi PRU15 adalah menghidupkan semula gabungannya dengan Umno menerusi Muafakat Nasional (MN).

Bagaimanapun katanya, Umno tidak mempunyai sebab untuk bekerjasama dengan PAS pada peringkat ini.

Beliau berkata, jika perlu bekerjasama dengan Bersatu, PAS wajar menggunakan logo sendiri memandangkan panji PN tidak akan memberi sebarang nilai tambah, merujuk kepada prestasi buruk ditunjukkan dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka serta Johor.


Seorang lagi penganalisis, Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia berkata, langkah PAS seterusnya akan bergantung kepada perkara yang menjadi keutamaan parti itu untuk PRU15.

“Jika ia mahu kekal mempunyai suara dalam kerajaan persekutuan, lebih baik jika ia kekal bersama Umno,” katanya.

“Namun ini juga akan membuka ruang untuk Umno terlibat dalam kerajaan negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah,” katanya kepada FMT.

Sebaliknya katanya, jika keutamaan PAS ialah mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri seperti sekarang, maka lebih masuk akal untuk menggunakan logo sendiri. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram