Pas belum putus guna logo PN #PRU15 – Nik Zawawi



PASIR PUTEH - Pas belum memutuskan sama ada akan menggunakan logo parti itu atau Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, perkara tersebut terlebih dahulu perlu diputuskan oleh Majlis Syura Ulama sebagai sebuah badan tertinggi di dalam Pas.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II berkata, tidak ada masalah bagi parti itu untuk menggunakan apa-apa logo sekalipun pada PRU.


“Pada dasarnya kita boleh guna apa-apa logo sekalipun. Nak guna bola, nak guna PN atau Muafakat Nasional (MN), tidak menimbulkan apa-apa masalah.

“Cuma dalam pilihan raya akan datang ini tidak ada lagi ketetapan khusus kita nak guna logo macam mana,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Daerah Pasir Puteh 2022 di Dewan Terbuka Majlis Daerah Pasir Puteh di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Jajahan Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh, Ahmad Adlee Yaasin.

Mengulas lanjut, Nik Muhammad Zawawi berkata, penetapan penggunaan logo tersebut akan diselaraskan apabila hampir pilihan raya dengan mendahulukan pandangan daripada parti.

“Pemilihan penggunaan logo ini tidak boleh dibuat melalui pandangan peribadi sebaliknya perlu mengutamakan pandangan parti,” katanya.


Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang diluluskan pada 7 Ogos 2020 bertujuan menjadikan rakyat sihat sejahtera melalui pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong hidup sihat.

“ANMS menggunakan pendekatan Whole of Nation membabitkan penglibatan seluruh agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan swasta serta seluruh rakyat Malaysia bagi memastikan pelaksanaannya secara menyeluruh secara berfasa selama 10 tahun bergantung kepada isu kesihatan semasa.

“ANMS meletakkan peningkatan taraf kesihatan rakyat sebagai keutamaan melalui amalan gaya hidup sihat seperti makan secara sihat dan selamat, tidak merokok, minda sihat, hidup aktif serta menjaga kebersihan diri dan persekitaran,” katanya. – Sinar



Join our Telegram Channel
Telegram