Lebih baik PAS guna logo sendiri pada PRU15, kata mursyidul am



PETALING JAYA: Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin berkata adalah lebih baik parti itu menggunakan logonya sendiri pada pilihan raya umum ke-15.

Menurut laporan Utusan Malaysia, beliau berkata logo PAS yang sudah dikenali sejak 70 tahun lalu akan memberi kelebihan kepada calon parti untuk menang.


Bagaimanapun, beliau menyerahkan segala keputusan mengenai pemilihan logo yang bakal digunakan dalam PRU15 itu, kepada Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN).

“Dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Melaka sebelum ini, logo PN, ada yang keliru apabila orang ingat logo tersebut Barisan Nasional (BN).

“Apa pun, putuskanlah segalanya secara bersama dalam Majlis Presiden PN,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS, Zuhdi Marzuki dilaporkan berkata PAS masih perlu menggunakan logo parti itu sebagai strategi untuk mencapai kemenangan dalam PRU15.


Katanya, kelonggaran itu perlu diberikan terutama di kawasan kubu kuat atau yang mempunyai potensi terutama di kawasan pantai timur dan negeri majoriti Melayu.

Sebelum ini, PAS menggunakan logo PN dalam PRN Johor dan Melaka bagi mencerminkan semangat muafakat dalam kalangan parti-parti ahli gabungan tersebut. – FMT

 

Join our Telegram Channel
Telegram