Bapa rogol anak kandung dipenjara 50 tahun, 8 sebatan



Melaka: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 50 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini, atas empat pertuduhan iaitu merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandung pada Oktober 2021 dan Januari tahun ini.

Hukuman itu diputuskan Hakim Mohd Sabri Ismail selepas menerima pengakuan salah tertuduh dan mensabitkannya dengan semua pertuduhan selain menimbangkan fakta kes, keterangan impak mangsa, rayuan tertuduh dan hujah pendakwaan.

Beliau menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan rogol dan penjara 10 tahun penjara dan dua sebatan bagi pertuduhan amang seksual fizikal.

Hukuman penjara bagi kesalahan rogol berjalan berasingan manakala untuk amang seksual bermula serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 23 Mac lalu.


"Tertuduh juga diperintah menjalani kaunseling pemulihan ketika menjalani hukuman dalam penjara," katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bekerja mengait kelapa sawit didakwa merogol anak perempuannya berusia 15 tahun lima bulan yang mana hubungan itu tidak dibenarkan mengikut undang-undang, hukum agama, adat, kebiasaan yang terpakai untuknya berkahwin.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kebun kelapa sawit di Jasin pada 20 Januari lalu, kira-kira 9 malam.

Kesalahan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan.

Pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama iaitu melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa bagi tujuan seksual pada masa, tarikh dan tempat sama.


Jika disabitkan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat bagi kesalahan Seksyen 14 (a) AKSTKK 2017, manakala Seksyen 16 (1) akta sama, membawa hukuman maksimum lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.

Bagi dua lagi pertuduhan dia yang tidak diwakili peguam didakwa merogol dan melakukan amang seksual terhadap anak kandungnya itu di sebuah rumah pada 18 Oktober 2021, kira-kira jam 8.30 pagi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim menghujahkan supaya hukuman berat dan setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepadanya dan juga keadilan kepada mangsa.

"Perbuatan tertuduh merogol anak kandungnya amat terkutuk dan berdasarkan keterangan impak mangsa jelas menunjukkan kesan besar terhadapnya.

"Sebab itu, pendakwaan menghujahkan hukuman berat berbentuk pengajaran dikenakan terhadap tertuduh sebagai mesej mahkamah memandang serius kesalahan sebegini," katanya. – Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram