Adik bunuh suami isteri ditahan di Genting Highlands



IPOH: Polis menahan seorang lelaki malam tadi bagi membantu siasatan pembunuhan sepasang suami isteri di sebuah rumah di Taman Bercham Aman, di sini, dalam kejadian pagi semalam.

Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid berkata, lelaki berusia 61 tahun itu yang juga adik kepada mangsa lelaki ditahan di Genting Highlands, Pahang kira-kira 7.45 malam.

“Polis juga menjumpai sebilah kapak yang dipercayai senjata digunakan untuk mendatangkan kematian kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek bebas daripada pengaruh dadah dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, pagi ini untuk permohonan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

Katanya, kes bunuh itu berjaya diselesaikan dalam tempoh 11 jam selepas laporan diterima dan pihaknya mengucapkan terima kasih kepada polis Pahang, pengurusan Resorts World Genting dan orang awam atas kerjasama yang membawa kepada penangkapan suspek dalam masa singkat.

Semalam, mayat suri rumah Ooi Tin Lu, 59, dan suaminya yang juga mekanik, Ng Chun Hon, 64, ditemui berlumuran darah di ruang tamu rumah mereka oleh abang Chun Hon yang balik ke rumah selepas bekerja lalu melaporkan kepada polis kira-kira 8.50 pagi.


Pasukan polis bersama pegawai dari Hospital Raja Permaisuri Bainun yang tiba di tempat kejadian mendapati kedua-dua mayat ditempatkan berdekatan, dengan satu daripadanya tertiarap dan satu lagi tersandar pada dinding, dipercayai mati akibat kecederaan di kepala disebabkan senjata tajam dan objek tumpul, namun tiada senjata ditemui.

Susulan itu, polis memburu suspek yang juga adik lelaki Chun Hon yang menghilangkan diri bersama kereta jenis Proton Saga milik Ooi. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram