Jawatan TPM: Bukan janji, hanya MoA – Takiyuddin



PETALING JAYA: Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan mengakui membuat draf perjanjian berkaitan jawatan timbalan perdana menteri seperti dimaklumkan oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin.

Takiyuddin yang juga menteri tenaga dan sumber asli berkata, pembabitannya dalam draf perjanjian berkenaan dilakukan atas kedudukannya sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang) ketika itu dan bukan kapasiti parti.

“Saya adalah bekas menteri undang-undang, jadi semua yang berkaitan dokumen undang-undang saya akan diminta membuat berkenaannya, bukan kerana saya adalah Takiyuddin.

“Ia (isu TPM) bukan satu perjanjian, sebaliknya dipanggil sebagai memorandum perjanjian (MoA),” katanya menurut Berita Harian.


Semalam, media melaporkan Muhyiddin yang juga presiden Bersatu meminta Presiden PAS Abdul Hadi Awang merujuk kepada Takiyuddin yang didakwanya sebagai “draftman” atau individu bertanggungjawab menggubal draf mengenai kewujudan perjanjian antara Muhyiddin dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkaitan jawatan timbalan perdana menteri.

Muhyiddin berkata, selain Takiyuddin saksi perjanjian itu ialah Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin dan Ketua Umno Ketereh Annuar Musa.

Beliau menjelaskan perkara itu selepas Hadi berkata tidak wujud perjanjian pelantikan timbalan perdana menteri dalam PN, namun beliau mengakui perkara itu dibincangkan antara PN dengan Ismail dan tiada keputusan dicapai.

Ditanya mengenai kewujudan MoA itu berada dalam pengetahuan Hadi, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu bagaimanapun mengakui beliau sendiri tidak pasti sama ada Hadi tahu mengenainya.

“Tidak semua orang tahu mengenai ‘perjanjian’ (MoA) itu. Jadi kena tanya Tok Guru (Hadi) sendirilah dia tahu atau tidak sebab dia bukan orang yang tandatangan MoA berkenaan.

“Mungkin kenyataannya (Hadi) sebelum ini (tidak wujud perjanjian Muhyiddin-PM) adalah jawapannya secara spontan apabila ditanya yang mana dia mungkin tidak tahu,” katanya.


Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, walaupun “perjanjian” yang dimaksudkan antara Muhyiddin dan Ismail itu secara terperinci ada menyebut mengenai jawatan timbalan perdana menteri, namun ia tidak mensyaratkan perlantikannya adalah diwajibkan memandangkan klausa mengenai timbalan perdana menteri tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebaliknya, kewujudan jawatan timbalan perdana menteri menerusi perdana menteri sebelum kerajaan ditadbir Ismail adalah melalui perkara dinamakan sebagai konvensyen iaitu suatu amalan yang tiada dalam perlembagaan.

Justeru, katanya pelantikan jawatan timbalan perdana menteri adalah atas budi bicara dan kehendak Agong.

“Jadi bila tiada dalam perlembagaan, maka terpulang kepada Agong sama ada hendak lantik TPM atau terpulang (sebaliknya). Jadi, tidak boleh kata wajib melantik TPM walaupun perdana menteri berhak atas hak prerogatifnya ingin melantik TPM jika beliau berasa memerlukannya,” katanya. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram