Jawatan TPM: Hadi sila rujuk SU Agung PAS, kata Muhyiddin



Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menasihatkan rakan sekutunya dari PAS supaya merujuk kepada setiausaha agung parti itu, mengenai kewujudan perjanjian jawatan timbalan perdana menteri.

Menurut Muhyiddin, yang juga adalah pengerusi Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hassan ialah individu yang menggubal draf perjanjian berkenaan.

Selain itu, bekas perdana menteri itu juga mengingatkan Abdul Hadi Awang bahawa, selain Takiyuddin, saksi perjanjian itu ialah Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin dan Ketua Umno Bahagian Ketereh, Annuar Musa.

"Tandatangan diturunkan oleh Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob), disaksikan oleh Annuar Musa dan saya bagi PN disaksikan oleh Hamzah serta ramai lagi pimpinan parti yang hadir.


"Jadi, mungkin Tok Guru boleh memeriksa kembali dengan Takiyuddin. Beliau sendiri yang sebenarnya adalah draftman kepada perjanjian itu. Itu kenyataan yang sebenarnyalah.

"Kesemua pimpinan tertinggi PN tahu mengenai itu dan kehadiran kita (PN) dalam kerajaan sekarang ini pun atas dasar PN. Bukan atas nama parti sahaja," katanya yang dipetik oleh portal Berita Harian Online.

Pada 8 Julai lalu, Hadi dipetik sebagai berkata tiada sebarang perjanjian dibuat berhubung pelantikan jawatan timbalan perdana menteri antara PN dengan Ismail Sabri.

"Kita masih lagi berpegang pada (keputusan) awal penubuhan kerajaan bahawa tak ada (jawatan) timbalan perdana menteri,” katanya.

Sehari kemudian, bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin ketika presiden Bersatu itu menjadi perdana menteri, Marzuki Mohamad tampil mengesahkan wujud perjanjian berkenaan.


Katanya walaupun ada beberapa pihak menafikan Ismail Sabri dan Muhyiddin memeterai sebarang perjanjian mengenai jawatan timbalan perdana menteri, persefahaman itu memang wujud.

Muhyiddin berkata, selain jawatan timbalan perdana menteri, kandungan perjanjian itu antara lain menyentuh bilangan jawatan dalam jemaah menteri, khususnya kuota parti.

"Itu sebahagian daripada perjanjian itu dan sebab itu apabila Zuraida Kamaruddin (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi) keluar Bersatu, maka wajarlah kuota itu diisi oleh ahli Parlimen Bersatu.

"Jadi, kita tidak tuntut lebih. Yang kita kemukakan kepada perdana menteri adalah apa yang termaktub dalam perjanjian," katanya lagi.

Portal berita itu melaporkan Muhyiddin bagaimanapun tidak menjawab soalan pemberita mengenai keperluan untuk jawatan timbalan perdana menteri diwujudkan semula ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semakin hampir dan rakyat dibelenggu kos sara hidup yang tinggi.. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram