Lantik TPM bukan janji, hanya MoA, Hamzah minta Takiyuddin perjelas



PUTRAJAYA: Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin enggan mengulas kenyataan Takiyuddin Hassan bahawa draf berkaitan jawatan timbalan perdana menteri (TPM) seperti dimaklumkan presiden parti itu, Muhyiddin Yassin bukan satu perjanjian.

Beliau sebaliknya berkata, setiausaha agung PAS itu perlu memberikan penjelasan berhubung kenyataannya bahawa draf berkenaan bukan perjanjian sebaliknya memorandum perjanjian (MoA).

“Tanya dia (Takiyuddin) apa maksud perjanjian atau memorandum perjanjian,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan surat keputusan kewarganegaraan di Kementerian Dalam Negeri.

Hamzah yang juga menteri dalam negeri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Takiyuddin bahawa draf perjanjian berkaitan jawatan TPM yang dibuatnya bukan satu perjanjian, sebaliknya dipanggil sebagai MoA.


Sebelum ini, Takiyuddin mengakui bahawa beliau membuat draf perjanjian itu atas kedudukannya sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang) pada waktu itu, bukan kapasiti parti, sambil menjelaskan bahawa pelantikan TPM adalah kehendak Yang di-Pertuan Agong.

Terdahulu, Hamzah menyerahkan surat keputusan kewarganegaraan kepada 28 penerima berusia 21 tahun ke bawah.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Hamzah turut menasihati rakyat supaya tidak mengambil mudah prosedur pendaftaran perkahwinan terutama bagi mereka yang berkahwin di luar negara atau dengan warga asing kerana ia akan mengundang masalah serta memerlukan masa lama khususnya untuk menyelesaikan isu kewarganegaraan anak.

“Saya menyeru mereka yang berkahwin dengan warga asing, daftarkan perkahwinan mengikut lunas undang-undang negara,” katanya. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram