TERKINI: Momen sebelum, ketika dan selepas Shinzo Abe ditembak mati (5 video)



PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Jepun, Shinzo Abe, meninggal dunia, susulan kecederaan parah selepas ditembak dalam satu acara di barat Jepun, hari ini, lapor AFP memetik laporan media di negara itu.

Menurut agensi penyiaran awam Jepun NHK dan agensi berita Jiji, mengesahkan kematian Abe, yang berusia 67 tahun.

Menurut NHK, seorang suspek yang ditahan di lokasi kejadian dikatakan menembak Abe dari belakang menggunakan senapang patah.

Abe, 67, dilaporkan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri, dengan tiada tanda vital dikesan setelah jantungnya terhenti.


Lapor AFP, polis Jepun menyerbu kediaman suspek lelaki yang ditahan atas cubaan membunuh sejurus bekas perdana menteri itu ditembak.

Hari ini, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menyifatkan insiden tembakan membabitkan Abe sebagai “tindakan keganasan yang tidak masuk akal”, tulisnya dalam Facebook.

“Abe ialah rakan baik Singapura. Saya baru sahaja menghadiri jamuan tengah hari pada Mei, semasa lawatan saya ke Tokyo. Ingatan dan doa saya bersama Abe dan keluarganya,” tulis Lee.

Lee turut memuat naik gambar beliau dan Abe ketika melawat Tokyo pada Mei lalu.

Menurut AFP, Abe memulakan karier politiknya pada 1993 selepas dipilih sebagai Ahli Parlimen. Pada 2006, mendiang dilantik sebagai perdana menteri, namun meletakkan jawatan pada 2007, antara lain memberi alasan kesihatan susulan pengundurannya.


Bagaimanapun, pada 2012, Abe dilantik semula sebagai perdana menteri bagi kali kedua, namun sekali lagi meletakkan jawatan pada 2020, juga atas alasan masalah kesihatan.

Abe juga adalah perdana menteri Jepun paling lama berkhidmat.

Mendiang yang dilahirkan pada 21 Sept 1954, di Tokyo, pernah bekerja di Kobe Steel bermula 1979 hingga 1982, sebelum menceburi bidang politik.

Abe merupakan anak kepada bekas menteri luar dan cucu kepada bekas perdana menteri Jepun. – FMT













Join our Telegram Channel
Telegram