Pelajar tingkatan satu paksa jiran 10 tahun hisap kemaluan ditahan



SUNGAI PETANI – Bukan sahaja dipaksa melakukan amang seksual malah budak sekolah berusia 10 tahun itu turut dicederakan suspek kerana enggan menuruti nafsunya.

Itu tindakan seorang pelajar lelaki tingkatan satu terhadap seorang kanak-kanak lelaki yang tinggal satu taman perumahannya di Gurun di sini, kira-kira pukul 4.30 petang pada Ahad lalu.

Tindakan jijik suspek terbongkar selepas kanak-kanak lelaki tersebut memberitahu keluarganya berhubung insiden itu sebelum bapanya membuat laporan polis pada hari yang sama di Balai Polis Gurun.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, hasil siasatan mendapati suspek membawa mangsa menaiki kereta Perodua Kancil yang dipandunya ke sebuah kedai di taman perumahan itu.


Ketika di dalam kereta, murid tahun empat itu diarah membuka seluar suspek dan menghisap kemaluannya namun mangsa enggan menyebabkan dia ditampar dan dipukul.

“Suspek kemudian membawa mangsa itu ke rumahnya dan mengarahkannya sekali lagi melakukan perbuatan sama namun arahan itu tidak dituruti menyebabkan suspek berang dan bertindak mencekik leher dan mengacukan sebilah pisau ke arah mangsa.

“Mangsa yang takut dengan insiden itu berlari pulang ke rumahnya sebelum memberitahu bapanya berhubung kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Zaidy, mangsa mengalami kecederaan di pipi kanan selain calar di dada serta badannya akibat kejadian tersebut.


“Susulan menerima laporan daripada bapa mangsa, suspek ditahan pukul  7.19 malam pada hari yang sama di rumahnya,” ujarnya.

Suspek kini direman empat hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTKK) 2017 serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

“Manakala mangsa dihantar ke hospital untuk pemeriksaan dan menerima rawatan lanjut,” katanya.

Terdahulu tular satu rakaman video menunjukkan suspek menaiki sebuah kereta kancil dimarahi penduduk selepas mengetahui insiden tersebut. – MG





Join our Telegram Channel
Telegram