Rasmi: Raja formula kini timbalan presiden PKR



PKR telah mengeluarkan keputusan rasmi untuk pemilihan pucuk pimpinan parti - dan mengesahkan bekas Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli adalah timbalan presiden baru parti itu.

Kemenangannya, dan beberapa lagi yang lain, tidak berubah selepas audit forensik.

Kiraan rasmi terakhir menunjukkan Rafizi memenangi saingan dengan majoriti 16,668 undi mengatasi Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Saifuddin Nasution Ismail.

Keputusan rasmi juga mengesahkan bahawa empat naib presiden yang dipilih ialah (mengikut susunan kronologi), Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Ahli Parlimen Tanjong Malim Chang Lih Kang, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, dan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.


Chang, Nik Nazmi, and Aminuddin dikaitkan dengan kem Rafizi.

Dalam satu kenyataan, pengarah jawatankuasa pemilihan parti (JPP) PKR Zaliha Mustafa mengakui bahawa audit forensik telah menemui percubaan menggodam oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mempengaruhi keputusan pemilihan.

Bagaimanapun, dia berkata firma audit telah mencadangkan supaya keputusan itu dibersihkan - yang dijalankan oleh jawatankuasa itu mengikut penemuan analisis digital.

"Bagaimanapun (pembersihan) tidak menjejaskan keputusan majoriti calon sama ada di peringkat pusat atau bahagian," katanya.


Sabtu lalu, Malaysiakini memetik sumber sebagai berkata bahawa audit forensik mendapati penipuan berlaku dalam pemilihan parti.

JPP menafikan perkara itu, namun mengesahkan terdapat cubaan godam untuk mempengaruhi pemilihan.

Sementara itu, keputusan rasmi juga memaparkan Adam Adli Abdul Halim menang jawatan ketua Pemuda PKR.

Di Gombak, Farhash Wafa Salvador, yang mengkritik keputusan undian, secara rasmi kalah dalam perebutan ketua bahagian menentang Amirudin. – Mkini

 

Join our Telegram Channel
Telegram