Zamihan saman Mufti Perlis



Kuala Lumpur: Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) Dr Zamihan Mat Zin memfailkan saman fitnah bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM2 juta terhadap Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.

Zamihan selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi menerusi Tetuan Zulkifli Yong Azmi & Co dan menamakan Mohd Asri sebagai defendan.

Zamihan yang juga Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penerbitan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendakwa kenyataan dikeluarkan oleh Mohd Asri sebagai berniat jahat manakala Mufti Perlis berkenaan diwakili oleh Tetuan Faizal Rahman.


Kenyataan yang didakwa sebagai fitnah itu diterbitkan oleh sebuah akhbar menerusi satu kolum wawancara khas bertarikh 14 Oktober 2018.

Bagaimanapun, dalam prosiding hari ini, peguam yang mewakili Zamihan menarik diri kerana mendapati berlaku konflik kepentingan dan perbicaraan ditangguhkan pada Isnin depan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa Mohd Asri mengeluarkan kenyataan yang merosakkan imejnya dan kenyataan berkenaan disiarkan di beberapa portal berita.

Plaintif antara lain mendakwa, Mohd Asri mengeluarkan kenyataan bahawa plaintif sebagai seorang yang tidak berintegriti, pembohong, pendusta dan mengelirukan orang awam dengan hukum Islam yang karut dan tidak benar selain suka mengkafirkan orang Islam.


Pernyataan tuntutan itu juga menyatakan bahawa plaintif terkesan dengan sebaran kenyataan berkenaan kerana ada dalam kalangan umum yang menyifatkan plaintif sebagai individu yang menyeleweng dan berfahaman ekstrim.

"Mereka menyifatkan saya seorang yang menyeleweng, seorang ekstrim, berfahaman Syiah dan seumpamanya, ini semua terhasil daripada kenyataan defendan terhadap diri saya," dakwa plaintif dalam pernyataan tuntutan berkenaan.

Plaintif juga menuntut ganti rugi am yang akan ditaksir tidak kurang RM2 juta atau sejumlah ganti rugi yang difikirkan berpatutan oleh mahkamah. – Hmetro

 

Join our Telegram Channel
Telegram