Ahli majlis PBT Negeri Sembilan disyaki pukul, cucuh api adik OKU



Seorang ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) direman sehingga hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan memukul adik lelakinya yang juga merupakan orang kurang upaya (OKU) di Bandar Sri Jempol, dekat Seremban pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata lelaki berusia 40-an itu ditahan kira-kira jam 4 petang Ahad selepas pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung perkara itu.

“Mangsa yang berusia 39 tahun mendakwa dipukul oleh abang kandungnya dengan menggunakan objek dan dicucuh dengan api.


"Dia kemudian dibawa ke Hospital Jempol untuk pemeriksaan doktor dan disahkan mempunyai kecederaan pada bahagian perut serta belakang badan sebelum menerima rawatan sebagai pesakit luar," katanya dalam kenyataan di Seremban semalam.

Hoo berkata kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan siasatan masih dijalankan.

Justeru, menurutnya orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan dan menyeru jika ada pihak yang mempunyai maklumat berkenaan kes tersebut agar tampil ke balai polis berdekatan. – Bernama



Join our Telegram Channel
Telegram