Baling banjir lagi, hospital, penduduk terjejas



BALING: Hujan lebat selama dua jam sejak pukul 5 petang semalam menyebabkan beberapa buah kampung di Mukim Baling dinaiki air.

Antara kampung terlibat ialah Kampung Batu Tujuh Rambong, Charok Juan, Telok Sanau dan Kampung Bendang Sera.

Sembilan keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) apabila rumah mereka dilanda banjir kilat malam tadi.

Lima keluarga berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Puan Habsah manakala empat keluarga berlindung di PPS Dewan Tun Abdul Razak.

SEORANG anggota Angkatan Pertahanan Awam memantau paras air di kawasan terlibat banjir di Baling.


Penduduk Kampung Batu Tujuh Rambong, Umil Khir Abu Bakar, 56, berkata, hujan lebat tanpa henti itu menyebabkan air dari Gunung Inas mengalir laju ke kampung berkenaan.

“Hujan lebat sejak petang hingga ke Maghrib menyebabkan air dari Sungai Charok Juan mengalir laju dan melimpah ke dalam parit berdekatan dengan rumah saya.

“Air dari atas bukit di belakang rumah juga turun laju dan masuk ke dalam ruangan dapur rumah hampir melepasi paras lutut menyebabkan keadaan sekeliling dikepung air,” katanya ketika ditemui malam tadi.

Sementara itu, banjir turut menyebabkan limpahan air sungai ke kawasan Hospital Baling yang menjejaskan beberapa unit kuarters, bilik persalinan dan taska hospital.

BANJIR memasuki salah sebuah rumah penduduk di Kampung Bendang Sera, Baling.


Bagaimanapun, Pengarah Kesihatan Kedah, Dr. Othman Warijo berkata, tiada kemalangan dan kecederaan dilaporkan dan air sudah mulai surut menjelang tengah malam tadi.

“Keadaan adalah terkawal dan kakitangan Hospital Baling kini giat melakukan kerja pembersihan dan perkhidmatan kesihatan masih beroperasi seperti biasa,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, penduduk di sekitar kawasan terlibat dinasihatkan berjaga-jaga dan perlu segera berpindah ke tempat selamat jika terdapat kemungkinan bahaya.

“Musim sekarang tidak menentu dan tidak boleh dijangka taburan hujan dan kita bimbang sekiranya mereka terperangkap pada waktu malam,” katanya ketika dihubungi. – Utusan















Join our Telegram Channel
Telegram