Mahkamah gugurkan pertuduhan Fahmi Reza hina Adham Baba



PETALING JAYA: Pereka grafik dan aktivis, Fahmi Reza yang didakwa menghina bekas menteri kesihatan, Dr Adham Baba di Twitter pada Februari lalu, dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).

Peguam Rajsurian Pillai yang mewakili Fahmi berkata, hakim Nor Hasniah Ab Razak membuat keputusan itu di Mahkamah Sesyen Jenayah Siber Kuala Lumpur pagi tadi.

“(Beliau telah diberikan DNAA) berdasarkan bantahan awal pihak pembelaan,” kata Rajsurian kepada FMT.


Menerusi catatan di Facebook selepas mahkamah membuat keputusan itu, Fahmi berkata, hakim bersetuju dengan bantahan awal pihak pembelaan dan menolak pertuduhan terhadapnya adalah cacat, serta mengarahkan wang ikat jamin dipulangkan kepadanya.

“Salut dan terima kasih kepada ‘team’ peguam yang ‘handle’ kes aku atas kejayaan kecil ni. Kesemua mereka ambil kes ni secara pro bono tanpa sebarang bayaran,” tulisnya.

Pada 10 Feb lalu, Fahmi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menghina Adham di Twitter.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia, di mana pihak pendakwaan berhujah dia memuat naik hantaran itu pada 10 Feb 2021 dengan niat untuk mengganggu orang lain.


Hantaran itu menyentuh dasar Kabinet 2021 yang membenarkan menteri menjalani kuarantin tiga hari berbanding 10 hari selepas pulang dari luar negara.

Adham adalah menteri kesihatan dari Mac 2020 hingga Ogos 2021. Beliau kini menteri sains, teknologi dan inovasi.

Fahmi turut didakwa di bawah peruntukan sama pada 17 Feb lalu kerana menghina PAS di Facebook dengan mengaitkan parti itu dengan gambar menunjukkan bir. – Mkini

 

Join our Telegram Channel
Telegram