Mahkamah Persekutuan arah Hisyam terus wakili Najib dalam rayuan SRC



PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan tidak membenarkan peguam utama, Hisyam Teh Poh Teik menarik diri daripada mewakili Najib Razak dalam rayuan terakhir SRC International bekas perdana menteri itu.

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat berkata, mahkamah sebulat suara berpendapat Hisyam “gagal mendedahkan alasan kukuh” untuk mewajarkan permohonannya menarik diri.

Hakim lain yang bersidang bersamanya ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim serta hakim Mahkamah Persekutuan, Nallini Pathmanathan, Mary Lim serta Zabidin Mohamad Diah.

“Oleh itu, permohonan untuk menarik diri ditolak dan peguam (Hisyam) kekal demi kepentingan keadilan,” kata Tengku Maimun.


Terdahulu, Hisyam memaklumkan mahkamah bahawa beliau tidak mempunyai masa mencukupi untuk membuat persediaan bagi kes itu, dalam usaha untuk mendapatkan penangguhan sekali lagi.

Selasa lalu, Hisyam meminta rayuan itu ditangguhkan “tiga hingga empat bulan” untuk memberi mereka masa membuat persediaan kerana pasukan pembelaannya baru dilantik akhir bulan lalu.

Tetapi, mahkamah menolak permohonan untuk penangguhan itu dan mengarahkan rayuan diteruskan.

Mahkamah menetapkan 15 hingga 26 Ogos ini untuk mendengar rayuan terakhir Najib dalam usaha membatalkan sabitan atas kesalahan penyalahgunaan kuasa, pengubahan wang dan pecah amanah membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Sabitan ke atasnya dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Dis 2021, begitu juga hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.


Tengku Maimun kemudian bertanya Hisyam jika pasukan pembelaan bergantung kepada hujahan bertulis – yang difailkan bekas peguam (Shafee Abdullah, Harvinderjit Singh) di mahkamah rendah – untuk tujuan perbicaraan hari ini.

Hisyam menjawab “ya”.

Mahkamah kemudian meminta Pendakwa Raya ad-hoc, V Sithambaram memulakan hujahnya.

“Kami meminta pihak pendakwaan mengemukakan hujah terlebih dahulu dengan tujuan memberi lebih banyak masa kepada perayu (Najib) untuk membuat persediaan bagi kesnya,” kata Tengku Maimun. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram