Tiada masa siap sedia, peguam utama Najib mohon tarik diri



PUTRAJAYA: Rayuan rasuah SRC International Najib Razak menjadi tambah dramatik hari ini apabila peguam utamanya, Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan Mahkamah Persekutuan bahawa beliau tiada alternatif kecuali menarik diri daripada kes itu.

Ini menyusul permohonan terbaharu yang dibuat pagi ini oleh pasukan peguam Najib yang baru dilantik akhir bulan lalu untuk menangguhkan pendengaran rayuan itu ditolak mahkamah tertinggi.

Hisyam berkata, beliau tidak sempat bersedia untuk kes itu dan memohon maaf kepada mahkamah.

Mahkamah ditangguhkan seketika untuk mempertimbangkan sama ada membenarkan Hisyam menarik diri.


Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata “sebagai peguam (utama), anda tidak patut menarik diri dan meninggalkan anak guam anda (Najib) tidak diwakili”.

Tengku Maimun mengetuai panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim serta hakim Mahkamah Persekutuan, Nallini Pathmanathan, Mary Lim dan Mohamad Zabidin Diah.

Permohonan terdahulu untuk menangguhkan pendengaran rayuan antara “tiga hingga empat bulan” yang dibuat Hisyam selepas pelupusan permohonan Najib untuk mengemukakan keterangan baharu ditolak mahkamah Selasa lalu.

Hisyam kemudiannya memberitahu media beliau “sangat kecewa” dengan pendirian mahkamah tertinggi itu kerana permintaannya untuk penangguhan “adil dan munasabah” berdasarkan keadaan.

Dua permohonan sebelum ini untuk menangguhkan pendengaran, dibuat melalui surat bertarikh 26 Julai dan ketika pengurusan kes tiga hari kemudian, turut ditolak.


Peguam bela semasa bekas perdana menteri itu, Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners dilantik mewakilinya pada 25 Julai lalu.

Najib sebelum ini diwakili Shafee & Co, dengan peguam kanan, Shafee Abdullah menjadi peguam utama.

Berdepan tujuh tuduhan penyalahgunaan kuasa, pengubahan wang dan pecah amanah membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta, perbicaraan Najib menyaksikan 86 saksi memberi keterangan sepanjang 76 hari ia berlangsung.

Pada 28 Julai 2020, beliau disabitkan bersalah atas semua tuduhan itu dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta, alasan yang ditetapkan hakim perbicaraan Nazlan Ghazali dalam penghakiman bertulis lebih 500 muka surat.


Jika hukuman itu dikekalkan, Najib akan diperintahkan menjalani hukuman penjara serta-merta dan secara automatik hilang kerusi Parlimen Pekan yang dipegangnya sejak sekian lama.

Sabitan dan hukuman Najib dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Dis 2021.

Pasukan peguam Najib turut terdiri daripada Zaid Ibrahim, Liew Teck Huat dan Ruben Mathiavarnam.

Peguam V Sithambaram, yang diberikan lesen khas oleh peguam negara, mengetuai pasukan pendakwaan dan beliau dibantu Donald Joseph Franklin, Sulaiman Kho Kheng Fuei serta Mohd Ashrof Adrin Kamil. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram