Nurul Izzah kini sudah berpunya, selamat diijab kabul



KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar selamat diijab kabul pada petang Jumaat (5 Ogos), dengan pilihan hatinya, Yin Shao Loong dalam sebuah majlis yang dihadiri ahli keluarga dan kenalan terdekat, di ibu negara.

Pengumuman tersebut disampaikan dalam satu kenyataan ringkas yang dikeluarkan pada Jumaat malam.

Nurul Izzah dan suaminya memaklumkan pernikahan mereka berwalikan ayahanda pengantin perempuan.


“Kami telah selamat diijabkabulkan di samping keluarga terdekat.

"Kami memohon doa kalian semua... agar kita sentiasa di bawah perlindungan Allah SWT,” jelas mereka dalam kenyataan itu.

Kenyataan itu disertakan bersama gambar pasangan pengantin baharu itu, yang diapit ayah dan ibu Nurul Izzah, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Shao Loong merupakan seorang Penyelidik Kanan di Institut Penyelidikan Khazanah, yang antara tumpuan bidangnya adalah dalam hal dasar industri, perubahan iklim dan teknologi masa depan.


Nurul Izzah pernah mengahwini Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim pada tahun 2003, bagaimanapun pernikahan mereka berakhir pada 2015.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata. – Awani

 

Join our Telegram Channel
Telegram