KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad
menafikan dakwaan dirinya terlibat dalam keputusan mahkamah membabitkan Datuk
Seri Najib Tun Razak.
Mahathir yang kini Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, beliau
tidak mempunyai sebarang pengaruh berkenaan keputusan mahkamah terhadap Ahli
Parlimen Pekan itu.
“Benar saya yang melantik (Tun Tengku Maimun Tuan Mat). Ketika itu, saya
Perdana Menteri dan saya tidak mempunyai pilihan kerana nama (Tengku Maimun)
dikemukakan dan saya hanya meluluskan (pelantikan).
“Untuk mengatakan saya mempengaruhi (keputusan) mahkamah, terdapat tiga
mahkamah. Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang
diwakili sembilan hakim, malah semuanya mempunyai pendapat yang sama,” katanya
pada sidang media di sini hari ini.
Mahathir berkata, kes Najib telah mengambil masa selama empat tahun yang mana
ia tidak pernah berlaku dalam Malaysia.
“Dahulu, kes Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) hanya ambil masa sembilan bulan
sahaja,” ujarnya.
Jelasnya, Najib telah diberikan ruang dan peluang secukupnya bagi membela diri
dalam kes tersebut.
“Jika kita lihat apa yang dilakukan, dia hanya menarik balik ini dan itu. Dia
kata tidak adil (keputusan yang dijatuhkan terhadapnya), apa yang tidak adil?
Jika betul dia perlu buktikan dalam keterangannya.
“Mahkamah ada bukti buku cek, dokumen bertulis dan semuanya ada di mahkamah.
Dia perlu sertakan bukti kukuh untuk menafikan bahawa dokumen yang ada itu
salah,” ujarnya.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12
tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib kerana menyeleweng
dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.
Join our Telegram Channel