Serangan seksual kanak-kanak, bilal dipenjara 8 tahun



GEORGE TOWN: Seorang bilal surau dipenjara lapan tahun dan dua sebatan rotan kerana melakukan serangan seksual terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun, dua tahun lalu.

Akif Aiman Ab Shukor, 29, didakwa menyentuh kemaluan mangsa dan memaksanya melakukan seks oral di surau sebuah kawasan rumah pangsa kira-kira 6 petang, 2 Mei 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan 15(f) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.


Hakim Mahkamah Sesyen Mazdi Abdul Hamid dalam keputusannya mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Aimy Zainul Anwar meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran memandangkan semakin banyak kes jenayah seksual melibatkan mangsa kanak-kanak lelaki.

Mengikut keterangan yang sebelum ini dikemukakan kepada mahkamah, perbuatan tertuduh dirakam menggunakan kamera telefon bimbit oleh abang mangsa yang keluar mencarinya selepas remaja itu tidak pulang ke rumah.

Abang mangsa melihat lampu di surau flat berkenaan menyala sedangkan ketika itu perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan dan rumah ibadat tidak dibenarkan beroperasi.

Beliau kemudian menghendap ke dalam surau itu dan melihat tertuduh melakukan kesalahan berkenaan lalu merakamkannya menggunakan telefon bimbit.


Dalam kes berasingan, mahkamah turut mengarahkan seorang lagi tertuduh, Jalalludeen Rahumathulla, 34, membela diri atas tiga tuduhan serangan seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 14 tahun pada akhir kes pendakwaan.

Jalalludeen didakwa melakukan seks oral, meliwat dan membuat rakaman pornografi mangsa di sebuah apartmen pada Disember 2019.

Dia mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu pada Februari 2020.

Peguam V Parthipan mewakili kedua-dua tertuduh. – FMT

 

Join our Telegram Channel
Telegram