Bapa Puteri Balqis ditahan dakwaan gangguan seksual



KUALA LUMPUR – Bapa kepada pelakon remaja, Puteri Balqis sudah direman sehingga 12 September ini bagi membantu siasatan polis.

Polis mengesahkan telah menahan lelaki itu rumahnya di Kedah, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, selain menahan lelaki berusia 43 tahun itu, polis turut merampas telefon bimbitnya.


“Barang rampasan itu akan dihantar ke Jabatan Forensik PDRM untuk dianalisa bagi membantu siasatan polis,” katanya menerusi kenyataan tadi ketika ditanya mengenai perkembangan terkini kes tersebut.

Tangkapan itu dibuat susulan laporan polis yang telah dibuat oleh pelakon remaja itu dua hari lalu di Subang Jaya.

Tambah Wan Azlan, ujian saringan air kencing lelaki itu didapati negatif dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencabul, Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001 atas kesalahan mengabaikan seorang kanak-kanak dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan atas kesalahan memiliki bahan lucah,” katanya.


Semalam dalam satu kenyataan media awal, Wan Azlan mengesahkan polis menerima satu laporan polis daripada Puteri Balqis yang mendakwa bapanya melakukan gangguan seksual serta tidak menjaga kebajikan mangsa.

Pelakon itu mendakwa dia sering dipertontonkan dengan video lucah melalui telefon bimbit ayah kandungnya.

Kejadian tersebut berlaku sejak tahun 2013 sehingga tahun 2017 apabila ibu mangsa tiada bersama di rumah. – MG





Join our Telegram Channel
Telegram