Diraba, disuruh tonton video lucah, Puteri Balqis dedah perangai jijik bapa siap onani depan-depan



PETALING JAYA – Nama pelakon remaja, Puteri Balqis sekali lagi menarik perhatian selepas satu pendedahan berani menjadi mangsa gangguan seksual bapa kandung sendiri seawal usia lima tahun.

Menerusi temu bual bersama saluran YouTube Bros Gang TV, Balqis atau mesra disapa Aqish mendedahkan bahawa sejak kecil dia bersama ibunya tidak mendapat layanan yang baik daripada bapa kandung.

Malah, pelakon berusia 15 tahun itu bersama ibunya pernah disepak oleh lelaki itu selepas diminta diajarkan solat dan membaca al-Quran.
 
“Ayah saya seorang yang pemalas. Dia tidak bekerja. Kerja dia 24 jam hanya main video game. Dia tak pernah ambil tahu tentang hal rumah.


“Dia juga tidak pernah ambil tahu untuk didik saya tentang hal agama. Ibu saya pernah minta diajarkan baca al-Quran, tapi dimarahi dan kami disepak. Perkara itu akan menghantui hidup saya,” dedahnya.

Ujar Aqish lagi, di sebalik perwatakan ‘mulia’ bapanya, lelaki itu sebenarnya berperangai tidak ubah seperti ‘binatang’ apabila tergamak melakukan gangguan seksual terhadap dirinya.
 
“Bila dia keluar dengan kawan-kawannya di kedai mamak, dia akan layan ‘porn’ (filem lucah) dengan kuat dan menyuruh saya untuk tonton bersama. Bila ibu sakit dia tak kisah.

“Dia akan onani dekat tepi. Malah dalam kereta pun dia akan melakukan perkara sama di hadapan saya dan ibu. Kalau saya tengah mandi dia akan terus masuk.

“Orang tidak akan tahu dia cium saya, raba saya. Sebab perangainya seperti ‘malaikat’ di hadapan orang lain,” kata Aqish.
 
Dalam pada itu, Aqish turut memaklumkan bahawa ibunya selalu berpesan untuk berdiam agar situasi tidak diketahui orang luar.


Hal ini kerana, agak sukar untuk Aqish meyakinkan orang luar mengenai penderitaan yang dialami mereka kerana penampilan ibunya yang bertatu, manakala bapanya seorang yang berjubah dan berkopiah.

Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen sudah menjangkakan pasti ada sesuatu yang tak kena dengan remaja itu kerana penampilan dan perilakunya yang dilihat sangat berlainan berbanding ketika masih kecil.
 
Malah netizen turut bersedih dan mula faham perubahan yang berlaku dalam diri Aqish selepas mengetahui penderitaan yang dialami pelakon itu sejak sekian lama.

“Dah agak. Adik Aqish budak baik. Mesti ada sesuatu yang tidak kena. Betullah,” kata seorang netizen.

“Saya sudah agak. Mesti disebabkan perkara seperti ini (masalah keluarga),” kata seorang lagi pengguna media sosial.
 
“Betul kata orang. Masalah dan pengalaman hidup membuatkan seseorang cepat matang. Semoga Aqish dan ibunya menjalani kehidupan yang lebih baik selepas ini,” doa seorang netizen.


Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun dalam responsnya bersedia untuk memanggil Aqish jika ada laporan dibuat.

Kata Rina, setakat ini belum ada laporan rasmi diterima daripada pihaknya dan beliau juga baru mengetahui tentang perkara tersebut menerusi media.
 
“Jika betul ada, kita akan panggil dia dan bapanya untuk disiasat serta tidak teragak-agak ambil tindakan tegas di bawah Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Sejak akhir-akhir ini, Puteri Balqis menjadi bualan hangat dalam kalangan netizen sehingga ada yang menggelarkan pelakon cilik itu dengan gelaran sundal hanya kerana dia menggayakan imej yang seksi dalam media sosial.

Meskipun begitu, pelakon yang pernah membintangi filem KL Special Force itu dilihat menjawab pelbagai tohmahan yang dilemparkan kepadanya dengan penuh tenang dan matang. – Kosmo





Please subscribe



Join our Telegram Channel
Telegram