Selepas gangguan seksual, bapa Puteri Balqis disiasat dakwaan pukul pula



Selepas direman atas dakwaan mencabul anak perempuannya, bapa kepada pelakon kanak-kanak itu kini disiasat atas dakwaan memukul anaknya pada 2014.

Menurut laporan, suspek berusia 43 tahun itu telah dipindah dari ibu pejabat polis daerah (IPD) Subang Jaya, di mana dia ditahan bagi membantu siasatan terhadap kes itu, ke IPD Shah Alam hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim berkata polis telah mendapat perintah reman empat hari untuk menahan lelaki itu, sehingga 16 September.


"Reman dibenarkan selama empat hari bermula hari ini hingga 16 September," katanya seperti dipetik Malay Mail.

Menurut Iqbal, anak perempuan suspek telah membuat satu lagi laporan polis berkenaan dakwaan terbaru itu pada 8 September lalu, di mana dia antara lain berkata diserang secara fizikal oleh bapanya dengan penyangkut baju, lapan tahun lalu.

Susulan itu, polis telah membuat kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 atas kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak (terhadap bahaya).

Polis juga merampas telefon suspek.


Terdahulu, pelakon kanak-kanak itu dalam wawancara bersama saluran Youtube Bros Gang mendakwa dia berulang kali didera secara seksual oleh bapanya.

Dia mendakwa ia berlaku antara 2013 hingga 2017 - ketika dia berusia seawal enam tahun. Dia mendakwa penderaan itu berlaku semasa ketiadaan ibunya.

Susulan itu, polis Subang Jaya telah menahan suspek di rumahnya di Kedah pada 6 September dan dia ditahan reman sehingga diserahkan kepada polis Shah Alam hari ini. – Mkini





Join our Telegram Channel
Telegram