Brazil arah henti jual iPhone kerana tiada charger



Apabila Apple mengumumkan untuk berhenti menyertakan pengecas dalam kotak pembelian ketika pelancaran iPhone 12, ia banyak mencetuskan kontroversi.

Sehingga kini, setelah hampir dua tahun, ia masih menjadi kontroversi.

Malah, tindakan itu juga menjadi pencetus bagi beberapa jenama lain untuk turut serta membuang kepala pengecas dalam kotak pembelian.


Terbaharu, kerajaan Brazil telah mengarahkan untuk menghentikan jualan iPhone, berikutan tindakan Apple membuang kepala pengecas daripada kotak pembelian.

Kementerian Keadilan dan Keselamatan Awam Brazil turut memerintahkan Apple membayar denda sebanyak 12,275,500 BRL (~RM10,537,717) serta membatalkan pendaftaran bermula iPhone 12 dan yang terbaharu dengan agensi telekomunikasi Brazil, sebagai tambahan kepada pemberhentian jualan bagi mana-mana model iPhone yang dijual tanpa pengecas dalam kotak pembelian.


Agensi perlindungan pengguna Brazil, Senacon mengatakan keputusan Apple untuk membuang kepala pengecas adalah membebankan pengguna dan syarikat itu sepatutnya memikirkan cara lain bagi mengurangkan kesan kepada alam sekitar, seperti bertukar kepada kabel USB-C dan sebagainya.

Dinyatakan juga, tanpa menyertakan pengecas, ia menjadikan peranti itu tidak lengkap dan memaksa pengguna untuk membuat pembelian tambahan bagi iPhone berkenaan. – The Verge



Join our Telegram Channel
Telegram