Macam dalam movie, upah 4 lelaki bunuh suami, rompak RM40k, larikan BMW



Polis menahan empat lelaki dan seorang wanita yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan suami wanita itu di sebuah rumah di Taman Aneka Baru, Sungai Udang di Klang, empat hari lepas.

Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed berkata wanita berumur 37 tahun itu ditahan sekitar pukul 10 malam Khamis, tidak sampai 24 jam selepas polis menerima laporan berhubung satu insiden, kononnya suami wanita itu terbunuh dalam kejadian rompakan pukul 2.14 pagi pada hari berkenaan.

Dia berkata suspek dipercayai membuat perancangan untuk membunuh suaminya sendiri kerana dendam, dengan berkomplot bersama empat lelaki berumur 20 hingga 36 tahun, yang ditahan polis antara Jumaat lepas dan semalam sekitar Klang dan Senawang, Negeri Sembilan.


Katanya dalam kejadian Khamis lepas, polis menerima panggilan daripada orang awam berhubung satu pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki yang menyebabkan seorang daripadanya terbaring berlumuran darah di kawasan rumah berkenaan.

“Pasukan perubatan yang tiba di lokasi kemudiannya mengesahkan seorang lelaki berusia 41 tahun telah meninggal dunia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, hari ini.

Arjunaidi berkata suspek utama ketika itu memaklumkan, dua lelaki berpakaian serba hitam dan memakai topeng malah bersenjatakan pisau telah masuk melalui pintu hadapan rumah lalu menikam suaminya sehingga menyebabkan kematian.


“Dakwa wanita itu juga, perompak telah menggeledah bilik dan rumah sebelum mengambil pelbagai beg tangan berjenama, barang kemas serta wang tunai sekitar RM40,000 dan melarikan diri menggunakan kereta BMW. Dianggarkan jumlah kerugian dialami kira-kira RM100,000,” katanya dan menambah lebih 14 tikaman dikesan pada tubuh si mati.

Katanya pada hari yang sama, polis menahan isteri mangsa pada sebelah malamnya, dan wanita itu turut memberikan maklumat berkaitan individu lain yang merupakan kenalannya, disyaki berkomplot dengannya dalam kejadian itu.

“Semua suspek direman sehingga 22 Sept ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh serta Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu rompakan berkumpulan dengan senjata,” katanya. – Bernama





Join our Telegram Channel
Telegram