Mangsa amang seksual kenal suspek melalui program motivasi



Kuala Lumpur: Mangsa gangguan amang seksual berkenalan dengan suspek ketika terbabit dalam program motivasi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, setakat ini, Polis Kontinjen Selangor menerima empat laporan iaitu dua di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, satu di IPD Shah Alam dan satu di IPD Kajang.

Menurutnya, kesemua laporan polis itu dibuat oleh empat individu berusia 17 hingga 18 tahun yang mendakwa menjadi mangsa amang seksual fizikal oleh seorang selebriti lelaki yang juga penceramah bebas.


"Siasatan awal pihak polis mendapati, suspek berusia lingkungan 40-an berkenalan dengan mangsa dalam program motivasi yang diadakan di sekolah di sekitar negeri Selangor.

"Hasil dari perkenalan itu, suspek didakwa bertindak melakukan jenayah amang seksual fizikal kepada semua mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arjunaidi berkata, bertindak atas maklumat berikut, sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangormembuat tangkapan ke atas suspek, 4 petang kelmarin di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.


"Kebenaran tahanan reman selama enam hari mulai semalam sehingga 14 September diperolehi dari Mahkamah Majistret Klang bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut ke atas suspek.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini kerana ia akan menjejaskan siasatanserta boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat. – Hmetro





Join our Telegram Channel
Telegram