UMNO gerak solo sebab PAS mandi banyak kolam – Zahid



Umno membuat keputusan untuk bergerak solo kerana tindak-tanduk dan sikap PAS, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Jelasnya, hasrat bekerjasama yang disampaikan PAS hanya satu bentuk kerjasama politik dangkal yang tidak mengambil kira keperluan rakyat sebagaimana semangat Muafakat Nasional (MN).

"Hanya dengan kembali kepada kerjasama asal, barulah keikhlasan PAS dapat dilihat.

"Kini Umno perlu bergerak ke depan, parti sudah membuat keputusan bergerak secara solo akibat tindak-tanduk dan sikap PAS sendiri.


"Tak perlu sedu-sedan apabila PAS sendiri sentiasa main selamat dan mandi dalam beberapa kolam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan Ahmad Zahid dipercayai merujuk kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendakwa Umno tidak akan berada dalam kerajaan tanpa pengorbanan Bersatu yang keluar Pakatan Harapan (PH).

Semalam, Tuan Ibrahim berkata apa juga muafakat politik yang ingin diadakan selepas ini, ia tidak boleh mengenepikan sahabat yang telah banyak berjasa sehingga meletakkan parti itu dalam kerajaan.

Tuan Ibrahim berkata, Umno sewajarnya menghargai mereka yang telah meninggalkan PH bagi membolehkan kerajaan gabungan ketika ini dibentuk.


"Apa jua muafakat politik kita tak boleh ketepikan rakan kita daripada Bersatu, tanpa mereka Umno pun tak mungkin berada dalam Kerajaan Persekutuan hari ini," kata Tuan Ibrahim ketika merasmikan Mukatamar Pemuda PAS.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, kerjasama Umno dengan PAS seharusnya menjadi entiti terbaik bagi memimpin jalan kehadapan.

Katanya, kerana dua parti itu mempunyai kekuatan berdasarkan jumlah undi yang diperolehi dua parti dominan itu dalam PRU ke-14 lalu.

"Mengapa? kerana di dalam PRU ke-14 yang lalu, jumlah undi kepada BN yang dipimpin Umno dan PAS boleh mencecah hampir 50 peratus undi yang mengatasi undi Pakatan Harapan (PH).

"Rakyat pula tidak yakin dengan janji melangit yang ditawarkan PH dan barisan kepimpinannya.

"Semangat MN tidak sekadar dimanifestasikan sebagai kerjasama politik, tetapi terjemahan besarnya adalah dalam satu bentuk wadah nasional yang lebih subur dan murni yang dipasakkan kepada sejarah dan watak Malaysia, rukun negara dan keluhuran perlembagaan," katanya. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram