Sanusi: ‘Warna biru PN banyak orang PAS alergik’



Gesaan agar PAS menggunakan logo sendiri pada PRU akan datang semakin kuat, apabila seorang pemimpin parti itu mencadangkan gabungan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Bersatu mempertimbangkan untuk menggunakan logo bulan parti itu.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Muhammad Sanusi Md Nor, yang juga Menteri Besar Kedah, ketika berucap di Muktamar Pemuda PAS Ke-63 malam tadi berkata PN harus menukar warna logo gabungan itu yang berwarna biru.

Menurutnya, anggota PAS "alah" dengan warna itu yang seakan-akan dengan warna biru yang sinonim dengan BN.

“PAS telah mohon untuk tukar logo sebab warna biru PN banyak orang PAS alergik.


“Orang alergik dengan warna logo PN yang warna sama dengan BN, patutkah kita biarkan perkara itu atau kita ambil tindakan memperbetul keadaan? Jadi (bagi saya) boleh diambil tindakan untuk diperbetulkan (kembali guna logo PAS),” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today.

Pandangan yang sama pernah diutarakan seorang pemimpin PAS Terengganu pada Konvensyen PN di Serdang, Selangor pada Sabtu lalu.

Exco Terengganu Ariffin Deraman dalam ucapannya berkata PAS Terengganu tidak akan menggunakan logo baru PN kerana berpandangan logo parti sendiri akan memainkan peranan penting dalam membawa kemenangan dalam PRU15.

Dia berkata ia tidak bermakna kepimpinan PAS Terengganu tidak menerima logo PN, tetapi yakin logo 'bulan' lebih diterima oleh masyarakat di pantai timur.


Bulan lalu, PN dilaporkan akan memperkenalkan logo dan warna baru pada PRU akan datang bagi mengelakkan kekeliruan dengan BN.

Namun cadangan itu tidak disambut baik terutamanya dari kalangan pemimpin di Kelantan dan Terengganu.

Di peringkat PAS pula, presiden Abdul Hadi Awang pada 22 Julai lalu berkata parti itu secara prinsip bersetuju dengan penggunaan logo baru.

Namun, mursyidul am Hashim Jasin menyokong gesaan agar PAS menggunakan logo sendiri pada PRU akan datang. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram