Anak muda Kedah terkinja-kinja kerana pengaruh iblis – Sanusi



ALOR SETAR – Kontroversi kejadian sekumpulan anak muda terkinja-kinja tanpa arah dalam persembahan muzik berhampiran Balai Seni Negeri di sini pada minggu lalu berlaku disebabkan pengaruh iblis dan syaitan selain dicampur nafsu jahat dalam diri individu tertentu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, perkara itu terjadi secara luar jangka dalam festival yang berlangsung dengan sangat baik untuk tempoh beberapa hari sebelum itu.

“Kerajaan negeri tak tahu apa-apa dan bukannya ada permohonan mereka nak terkinja-kinja atau tergedik-gedik. Dalam kelulusan pun tak dibenarkan tergedik-gedik, terkinja-kinja dan terlompat-lompat tak ketahuan hala macam masuk hantu begitu.


“Tetapi perkara itu terjadi juga apabila iblis campur syaitan, campur dengan nafsu jahat dalam diri. Tiada siapa menjangkakannya dan ada seekor lagi iblis yang ambil gambar serta sebar perkara tersebut.

“Iblis dan syaitan bercuti, dia tolong buat kerja mereka sedangkan benda-benda buruk bukan boleh sebarkan. Benda buruk serta aib orang kena tutup,” katanya ketika berucap merasmikan Penutup Program Jelajah Kedah Sejahtera di pekarangan Masjid Nurul Ihsan, Langgar di sini hari ini.

Sebelum ini tular di media sosial rakaman video persembahan kumpulan muzik di pentas yang disaksikan ratusan penonton terdiri daripada anak muda dengan aksi terkinja-kinja di Balai Seni Negeri.

Acara itu mengundang rasa kurang senang dalam kalangan orang ramai memandangkan ia diadakan tidak jauh dari Masjid Negeri, Masjid Zahir serta Pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK).


Mengulas lanjut katanya, program tersebut secara keseluruhannya sama sekali berbeza daripada apa yang digambarkan dalam klip video yang tersebar.

“Kejadian yang tular itu berlaku satu atau dua minit sahaja sedangkan dalam tempoh dua atau tiga hari itu, program berjalan sangat baik. Cumanya pada minit-minit terakhir sebelum hujan turun, iblis berpangkat sarjan serta brigadier jeneral ‘mai’ cucuk ‘depa’ suruh tergedik-gedik.

“Kemudian iblis suruh orang rakam, sebarkan dan cucuk pula orang lain suruh percaya bahawa program tergedik-gedik itu kerajaan negeri punya kerja, maka Sanusi kena bertanggungjawab,” katanya. – Kosmo


ARTIKEL BERKAITAN:

Join our Telegram Channel
Telegram