Bersatu tak pernah memusuhi Najib atau parti lawan – Ahmad Faizal



KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak pernah memusuhi sesiapa dalam kalangan rakan parti mahu pun individu dalam politik, kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, apa yang lantang diperjuangkan oleh beliau termasuk pemimpin parti itu ialah menentang atau memusuhi perkara mungkar, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Tujuan kita membuat teguran ke atas individu atau parti tertentu adalah kerana hendak memperelokkan negara supaya jangan membelanjakan wang dengan perkara tidak baik kerana ini merugikan rakyat.


“Sedangkan rakyat di luar sana menagihkan perkhidmatan terbaik dari kerajaan dan pemimpin terutama dari segi kesihatan, pendidikan dan ekonomi yang begitu meruncing.

“Perkara ini yang Bersatu titik beratkan dan pastilah kita kena lawan kalau ada perbuatan dari parti atau individu tertentu yang merencatkan imej negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Agung Tahunan Armada, Srikandi dan Srikandi Muda Bersatu Bahagian Gombak, dekat sini, petang ini.

Beliau diminta mengulas mengenai tegurannya terhadap mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi hukuman penjara atas kesalahan menyalahgunakan wang negara.


Menurut Ahmad Faizal, tegurannya itu bukan khusus kepada Najib, malah kepada semua orang Melayu dan Islam serta kalangan pemimpin dan mereka yang tidak ada sifat baik seperti penagihan dadah serta gejala sosial.

“Saya tegur Najib kerana perbuatannya, tetapi atas batang tubuhnya sebagai Najib, saya hormat dia, dan saya nasihat serta tegur ini agar mereka patut merasa malu dengan sifat sedemikian.

“Teguran ini selaras dengan Bersatu sebagai sebuah parti yang cuba hendak memperbaiki keadaan berkenaan bagi menegakkan syiar Islam dan memartabatkan bangsa Melayu, seterusnya mempertahankan kedaulatan negara.

“Ini yang saya terapkan kepada Armada, Srikandi Muda dan Srikandi Bersatu agar jadikan mesyuarat bahagian ini sebagai satu platform untuk mereka kemukakan pandangan, bagaimana mereka boleh memperkuatkan diri serta masyarakat melawan perkara yang tidak baik,” ujarnya. – MG



Join our Telegram Channel
Telegram