Pegawai nafi laporan Sinar Zahid tak bertanding #PRU15



PETALING JAYA: Seorang pegawai Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan bahawa presiden Umno itu tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Apabila diminta mengesahkan laporan Sinar Harian bahawa Zahid tidak akan bertanding pada PRU 19 Nov, pegawainya membalas dengan menghantar kepada FMT tangkap layar laporan itu dengan label “Palsu” padanya.

“Belum ada apa-apa,” kata pegawai tersebut apabila ditanya sama ada Zahid mempunyai sebarang komen mengenai laporan itu.

“Mungkin dia akan mengulas perkara ini selepas acara di Kuala Terengganu hari ini,” katanya merujuk kepada sebuah perhimpunan Barisan Nasional (BN).


Sinar Harian melaporkan bahawa Zahid yang menjadi Ahli Parlimen Bagan Datuk sejak 1995, tidak akan bertanding kerana didakwa tidak mahu parti pembangkang menggunakan “isu yang menyelubunginya” untuk menguntungkan mereka semasa berkempen.

Sebaliknya anak perempuan Zahid yang akan bertanding di kerusi itu, menurut laporan tersebut.

Pada September, Zahid dibebaskan daripada 40 tuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat bagi melanjutkan kontrak sistem visa asing selepas mahkamah memutuskan pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.

Bagaimanapun, bekas timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri itu masih berdepan 35 tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi, serta menerima rasuah untuk pelbagai projek sepanjang menjadi menteri dalam negeri. – FMT
Join our Telegram Channel
Telegram