Zahid Hamidi tidak bertanding #PRU15?



SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak akan bertanding bagi mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk yang disandangnya sejak empat penggal lalu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Sinar Harian difahamkan tempat beliau akan diganti oleh sama ada anaknya, Nurulhidayah atau pun orang kanan beliau sendiri.

Pemimpin berusia 69 tahun itu membuat keputusan besar tersebut sebagai satu pengorbanan agar nama dan isu yang menyelubungi dirinya tidak dijadikan modal kempen lawan dalam PRU15 yang telah pun ditetapkan pada 19 November ini oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).

Langkah itu sekali gus menjawab teka-teki berhubung sokongan penuh UMNO-UMNO Bahagian kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri jika Barisan Nasional (BN) ditakdirkan menang.


Pada 23 September lalu, Ahmad Zahid dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini atas 40 pertuduhan rasuah berhubung kontrak Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Ahmad Zahid didakwa di Mahkamah Sesyen atas 40 pertuduhan menerima rasuah daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung projek VLN pada Jun 2019.

Bagaimanapun, beliau masih berdepan dengan 47 pertuduhan lagi dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan kes dakwaan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan dana milik Yayasan Akalbudi.


Ahmad Zahid dilahirkan pada 4 Januari 1953 dan beliau merupakan anak sulung daripada sembilan beradik.

Beliau merupakan Timbalan Perdana Menteri mulai 29 Julai 2015 sehingga 2018 di dalam kerajaan BN selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan daripada kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau juga merupakan Menteri Dalam Negeri dari 2013 sehingga 2018 dan sebelum itu berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan dari 2009 sehingga 2013.

Di awal kerjaya politiknya, Zahid merupakan Setiausaha Politik kepada Najib, Senator Dewan Negara dan Pengerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) sebelum menjadi ketua sayap Pemuda UMNO.


Selepas BN mengalami kekalahan buat pertama kali dalam PRU14 dan tidak lagi menjadi kerajaan Persekutuan, Ahmad Zahid mengambilalih kepimpinan dalam UMNO dan BN iaitu selepas Najib melepaskan kedua-dua jawatan tersebut.

Namun pada 18 Disember 2018, beliau membuat keputusan untuk bercuti daripada jawatan tersebut dan hanya kembali semula menerajui UMNO enam bulan selepas itu.

Dibawah kepimpinan beliau, BN telah berjaya memenangi beberapa pilihan raya kecil yang diadakan dan yang terbaharu ialah pada Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor yang menyaksikan kemenangan besar BN. – Sinar






Join our Telegram Channel
Telegram