Pahang, Perlis bubar DUN hari ini



KUANTAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang dan Perlis dibubarkan berkuatkuasa hari ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pembubaran itu susulan pengumuman Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang membubarkan Parlimen pada Isnin.

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembubaran DUN Pahang ke-14 hari ini, bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan PRU15.

Wan Rosdy berkata, beliau telah menghadap Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bagi mendapatkan perkenan pembubaran DUN itu.


Beliau berkata, selaras dengan Fasal (2) Perkara 26 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang, Tengku Hassanal telah berkenan agar DUN Pahang Ke-14 dibubarkan berkuatkuasa pada hari ini.

“Tarikh hari ini dipilih bagi membolehkan pembentangan serta perbahasan mengenai Belanjawan 2023 Negeri Pahang disempurnakan terlebih dahulu, sekali gus mendapat kelulusan untuk dilaksanakan pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata, demikian pada sidang media khas di Wisma Sri Pahang di sini hari ini yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Sallehuddin Ishak dan semua anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram