'Anda tak akan faham’, Rafizi koyak soalan media mengenai Invoke, status 'jutawan'



Rafizi Ramli kelihatan naik angin hari ini terhadap MalaysiaNow sambil membidas pengkritik yang menimbulkan persoalan mengenai syarikat berkait PKR, Invoke, ketika timbalan presiden PKR itu sekali lagi dilontar beberapa soalan mengenai butiran pengisytiharan asetnya yang menunjukkan lonjakan RM17 juta.

Rafizi, yang sebelum ini berkata beliau adalah seorang jutawan pada usia 30 tahun, ditanya mengapa pada 2017 beliau merayu derma daripada orang ramai dalam usaha mempertahankan dirinya terhadap saman fitnah National Feedlot Corporation (NFC).

Rafizi kemudian menuduh MalaysiaNow sebagai jurucakap kepada pengkritiknya, termasuk Mohamed Azmin Ali, bekas pendahulunya yang mengalahkan beliau ketika pemilihan parti bagi jawatan timbalan presiden PKR.

"Oh patutlah, ini (media) lidah rasmi Azmin Ali. Maaf saya tidak akan layan (soalan ini). Tidak mengapa, apa sahaja yang perlu saya sampaikan saya akan letak di blog (saya) dan platform lain, anda boleh Google dan ambil dari sana," katanya.


Rafizi, yang membuat sidang media mengenai isu salah guna kuasa dalam pemberian kontrak RM2 bilion oleh kerajaan hari ini turut menuduh MalaysiaNow sebagai “lidah rasmi Latiff Ahmad", merujuk kepada Dr Abdul Latiff Ahmad dari Bersatu yang mengkritik pemimpin PKR itu berhubung pengisytiharan aset terbarunya.

Beliau kemudiannya berulang kali meremehkan soalan wartawan, mengatakan bahawa dia tidak mahir dalam bidang kewangan.

"Sebab tu saya cakap balik dan cuba fahami kewangan sebab saya baru terangkan tadi tentang modal saham. Anda tak faham ke? Saya dah jawab soalan ketiga anda. Dapat tangkap?

"Apa sahaja wang tunai yang saya ada, telah dimasukkan ke dalam syarikat untuk membiayai pilihan raya umum dalam bentuk modal saham," katanya, merujuk kepada suntikan modal ke dalam Invoke, sebuah syarikat analisis data yang ditubuhkan untuk membantu PKR mengukur sokongan orang ramai sebelum dan sehinggalah pilihan raya umum pada 2018 diadakan.

Rafizi menjadi tumpuan ramai berikutan pengisytiharan asetnya di mana beliau menyenaraikan RM16.7 juta saham dalam Invoke sebagai sebahagian daripada sejumlah RM19.67 juta aset yang dimilikinya.


Latiff bersama bekas ahli Parlimen PKR Rashid Hasnon membangkitkan persoalan terhadap tindakan Rafizi yang menyenaraikan saham bernilai RM16.7 juta sebagai aset peribadi, mengingatkan beliau tiada seorang pun dalam kalangan kakitangan di Invoke diberi agihan saham walaupun lima tahun dahulu pernah berjanji untuk memberikan ganjaran kepada mereka.

Latiff turut mempersoalkan lonjakan nilai saham Invoke sedangkan syarikat itu mencatatkan kerugian dengan aset bersihnya pada -RM4.7 juta setakat Disember tahun lalu.

"Manakala dalam deklarasi yang baru dikeluarkan oleh Rafizi sehingga pada 31 Oktober 2022, nilainya melonjak kepada RM17 juta," katanya.

Ketika diminta menjawab persoalan yang dibangkitkan itu, Rafizi membidas Latiff sebagai "bodoh", dan mengulangi tuduhannya bahawa bekas timbalan menteri itu mewujudkan “syarikat atas angin” untuk menerima RM200 juta dalam bentuk kontrak kerajaan.

"Dia buat syarikat RM2, RM10, RM100, itu sahaja duit dia masukkan, lepas tu dia gunakan kabel untuk dapatkan projek, jadi semua atas angin."

Rafizi berkata beliau tidak mahu "membuang masa" menjawab kenyataan Latiff yang tidak berhenti membangkitkan isu saham dalam Invoke.


"Kalau dia terus buat begini sebenarnya dia nampak lagi bodoh,” katanya.

Rafizi kemudiannya berkata beliau telah menyuntik modal sendiri ke dalam Invoke.

"Anda tidak boleh ambil balik (modal) itu. Anda mulakan syarikat, anda letak duit. Saya masukkan modal beberapa kali dalam tempoh beberapa tahun, pada masa, saya fikir tahun 2017, saya telah meletakkan sekitar RM1 juta. Ini menjadi modal saham.

"Untung atau rugi adalah hasil daripada aktiviti operasi syarikat. Kedua-dua perkara ini berbeza,” jelasnya.

Sementara itu, Rafizi turut mengenepikan persoalan mengapa Invoke tidak memperuntukkan saham kepada kakitangannya yang pernah dikatakan sebagai mereka yang turut "membina syarikat", sebaliknya seorang taikun perniagaan dan rakan ahli Parlimen PKR dijadikan pemegang saham terbesar dalam Invoke.

“Memang menghairankan, kenapa orang ramai minat terhadap benda-benda kecil macam ini. Tetapi saya rasa seluruh negara terhibur. Saya biasa sahaja. Ini adalah publisiti yang baik untuk Invoke dan ini juga peluang untuk mendidik orang ramai di luar sana bagaimana untuk menjalankan syarikat dan meningkatkan pelaburan."


Menjelaskan lebih lanjut, beliau mendakwa bahawa Invoke mempunyai modal saham lebih RM12 juta dalam tempoh dua tahun, menyebabkan pemegangan beliau sendiri berkurang kepada 73%.

"Jadi apa yang dibincangkan ketika itu, dan kakitangan pun maklum (tentang) perbincangan tersebut, jika kami keluarkan saham secara percuma kepada kakitangan, ia akan membawa kesan kepada untung dan rugi."

Selepas penjelasan panjang lebar mengenai kaedah meningkatkan pelaburan dan peruntukan saham, Rafizi kemudiannya membuat kesimpulan bahawa kebanyakan orang yang hadir pada sidang media itu "tidak memahami apa-apa mengenai perkara ini".

"Saya rasa sebahagian besar daripada anda juga tidak memahaminya. Jadi apa yang saya cadangkan, jika anda ingin memahami bagaimana jenis-jenis saham berfungsi dan hal yang berkait dengannya, balik dan baca tentang unit stok terhad (RSU), tentang jenis-jenis saham, tentang bagaimana apabila anda mengeluarkan RSU ia akan menjejaskan untung dan rugi, dan jika ia menjejaskan untung rugi, bagaimana ia akan menjejaskan penilaian dan apa yang jadi jika syarikat disenaraikan di bursa, bagaimana ia akan memberi kesan dalam semua hal,” katanya. – MalaysiaNow



Join our Telegram Channel
Telegram