#PRU15: NGO desak SPRM siasat Rafizi



Putrajaya: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat harta sebanyak RM18.85 juta yang diisytiharkan calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia (PJPNM), Syed Mohammad Imran Syed Abdul Aziz berkata, beliau 'tabik' kepada Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana mengisytiharkan harta.

Namun, katanya tersebar di media sosial yang mengaitkan Rafizi menerima wang dari syarikat yang diasaskannya sendiri, Invoke Solutions Sdn Bhd (Invoke).


"(Jadi) SPRM perlu siasat dana lebih RM16 juta yang masuk ke dalam syarikat itu, sedangkan Invoke rugi tiga kali dan hanya untung dua kali sejak ditubuhkan pada 2016.

"Sekiranya benar Rafizi terbabit dengan pengubahan wang haram beliau tidak layak bertanding dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu membatalkan penyertaannya dalam PRU-15," katanya kepada pemberita ketika membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Pada 2 November lalu media melaporkan, Rafizi menjadi individu pertama mengisytiharkan harta dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta.

Pengisytiharan harta dibuat mengikut Akta Akuan Berkanun 1960 susulan syarat PKR supaya calon yang bertanding pada PRU-15 untuk berbuat demikian.


Kebanyakan asetnya diperoleh daripada pelaburan saham dalam Invoke, syarikat tinjauan awam yang diasaskannya termasuk pelaburan dalam Boustead Holdings Berhad milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan polisi insurans di Prudential.

Syed Mohammad Imran berkata, tiada masalah sekiranya pengaliran wang itu dari sumber yang sah.

"Jadi, SPRM perlu menyiasat perkara ini," katanya. – Hmetro




Join our Telegram Channel
Telegram