PANAS: MCA dedah diarah pemimpin kanan BN untuk sokong PN



PETALING JAYA: MCA menjelaskan sokongannya kepada Perikatan Nasional (PN) selepas PRU15 kerana “dimaklumkan oleh pemimpin kanan tertentu BN” bahawa mereka harus menyertai gabungan itu untuk membentuk kerajaan baharu.

“Ini adalah situasi serupa dengan Gabungan Parti Sarawak (di mana) pelbagai laporan berita mendedahkan bahawa GPS pada mulanya juga menyokong PN selepas mereka diberitahu bahawa BN bersetuju menyokong PN,” kata Timbalan Presiden MCA Mah Hang Soon dalam kenyataan.

“Seterusnya, dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN kali pertama selepas pilihan raya memutuskan bahawa keutamaan BN ialah kekal berkecuali dan sebagai pembangkang.”


Beliau berkata, Presiden MCA Wee Ka Siong mencadangkan sebarang akuan berkanun (SD) secara individu oleh Ahli Parlimen BN harus “dibatalkan serta-merta”, dengan BN kemudian mengarahkan semua Ahli Parlimennya berbuat demikian.

PRU15 pada pada 19 Nov lalu menyaksikan tiada parti dapat meraih majoriti mudah untuk membentuk kerajaan sebelum Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri bagi mengetuai kerajaan perpaduan membabitkan BN, GPS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Kerajaan pimpinan Anwar turut disokong oleh Ahli Parlimen daripada Warisan, Muda, Parti Bangsa Malaysia dan bebas.

Isnin lalu, MCA berikrar memberikan sokongan “sepenuh hati” kepada kerajaan perpaduan Anwar.


Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon, menyifatkan ia sebagai langkah ke arah perdamaian nasional antara gabungan pemerintah dan pembangkang.

Sebelum ini, dilaporkan 10 Ahli Parlimen BN menandatangani SD yang menyokong Pengerusi PN Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri selepas BN memutuskan untuk kekal dalam pembangkang.

Semalam, FMT melaporkan 10 Ahli Parlimen itu mendakwa mereka dikelirukan oleh seorang pemimpin kanan Umno untuk menyokong PN.

“Jadi mereka (10 Ahli Parlimen) masih boleh membuat keputusan (menyertai Jemaah Menteri). Tetapi pemimpin yang mengelirukan mereka harus bertanggungjawab,” kata sumber. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram