MCA juga tuntut Zahid letak jawatan



Ahmad Zahid Hamidi terus menerima desakan daripada luar dan dalam partinya untuk berundur daripada mengetuai Umno dan BN.

Terbaru Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon tampil membuat gesaan itu setelah Zahid memimpin BN memasuki pilihan raya yang mencatatkan keputusan paling buruk buat gabungan itu semalam.

“MCA juga menyatakan pendirian bahawa parti MCA telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Ahmad Zahid Hamidi sebagai pengerusi BN dan beliau haruslah meletakkan jawatan dengan terhormat supaya seorang pemimpin baharu dapat mengambil alih pucuk pimpinan BN untuk menentukan hala tuju parti,” katanya.


Dalam kenyataan sebentar tadi, Chong turut menyatakan rasa kecewa atas keputusan Zahid menangguhkan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dijadualkan pada malam ini. 

Katanya, ketika politik tidak stabil selepas pilihan raya, keperluan untuk bermesyuarat amat mendesak supaya BN dapat membuat keputusan sebagai satu blok.

“MCA mengambil pendirian yang tegas bahawa tiada mana-mana pihak yang berhak mewakili BN untuk berunding dengan mana-mana parti politik tanpa mandat daripada Dewan Tertinggi BN,” katanya.

Dia juga mendesak pemangku pengerusi BN memanggil Mesyuarat Dewan Tertinggi BN dengan segera, jika Zahid berundur. – Mkini


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram