Polis Perak sahkan dakwaan 'rusuhan' di pejabat UMNO Lenggong adalah palsu



IPOH: Polis menafikan berlaku rusuhan serta perhimpunan haram dalam kalangan ahli UMNO di pejabat parti itu di Lenggong yang dikaitkan dengan penggabungan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi malam tadi mengesahkan bahawa dakwaan berlaku situasi seakan rusuhan berkenaan tuntutan ahli UMNO/ BN mendesak pimpinan tertinggi tidak adakan kerjasama dengan PH sebagai palsu.

"(Ia) palsu. Esok saya akan buat sidang media (mengenainya). Terima kasih," katanya ringkas ketika dihubungi melalui WhatsApp.


Beliau diminta mengulas mengenai beberapa gambar yang berlegar di laman Twitter dengan keterangan menyatakan berlaku situasi panas di hadapan Pejabat UMNO Lenggong apabila akar umbi UMNO Bahagian itu bangkit menolak penghinaan BN kerana dikatakan 'tersungkur sujud' di kaki DAP.

Bagaimanapun, semakan mendapati gambar yang berlegar dengan keterangan palsu itu menyamai gambar yang dimuat naik di Facebook rasmi Jabatan Penerangan Daerah Hulu Perak, Pusat Maklumat Rakyat Hulu Perak.

Berdasarkan keterangan pada gambar sama yang dimuat naik oleh Jabatan Penerangan Daerah Hulu Perak, gambar itu adalah berkenaan suasana di luar Pusat Penjumlahan Rasmi Undi P.055 Lenggong di Dewan Merdeka Lenggong pada waktu penjumlahan undi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada tengah malam 19 November lalu.


"[Terkini] 12.50 pagi: Suasana di luar Pusat Penjumlahan Rasmi Undi P.055 Lenggong di Dewan Merdeka, Lenggong," menurut keterangan asal gambar terbabit.

Berdasarkan gambar terbabit, kelihatan perkumpulan orang ramai dengan terdapat anggota polis termasuk anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada di lokasi itu. – Bharian


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram