#PRU15: Ketua Pemuda PAS Sik berehat daripada semua jawatan



Alor Setar: Selepas dihambat kontroversi susulan tular video ceramah memberi hukum undi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk neraka dalam kempennya baru-baru ini, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Sik, Mohd Shahiful Mohd Nasir membuat permohonan untuk berehat daripada jawatan itu.

Permohonan itu dibuat menerusi satu surat yang ditujukan kepada Setiausaha PAS Kawasan Sik bertarikh 11 November lalu.

Dalam surat itu Mohd Shahiful turut menyatakan akan berehat daripada semua jawatan dalam parti untuk tempoh yang akan dimaklumkan kelak.


Katanya, permohonan yang dibuat itu adalah secara sukarela tanpa dipaksa oleh mana-mana pihak dan akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku.

"Ucapan di dalam video itu adalah ucapan saya sendiri dan bukan mewakili PAS khususnya Perikatan Nasional (PN) amnya. Saya ingin memohon maaf kepada semua pihak sama ada di dalam PAS mahupun PN yang terkesan dan tersinggung akan ucapan saya itu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika dihubungi mengesahkan mengenai permohonan Mohd Shahiful berkenaan. – Hmetro
Join our Telegram Channel
Telegram