Shahidan layak, tapi masanya dah berlalu, kata Zahid



KUALA LUMPUR: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengakui Shahidan Kassim lebih layak bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), tetapi menegaskan masa bagi penyandang Parlimen Arau itu sudah berlalu.

“Kita memutuskan untuk menggantikannya dengan calon lain selepas mengambil kira keperluan pengundi dan Perlis,” katanya kepada wartawan di kompleks mahkamah di sini, hari ini.

Bekas menteri Wilayah Persekutuan itu digugurkan daripada senarai calon BN pada PRU15 dalam pengumuman malam tadi.


Shahidan digantikan oleh Rozabil Abdul Rahman, ketua Pemuda Umno Bahagian Arau dan bekas presiden Persatuan Bola Sepak Perlis.

Walaupun digugurkan, Shahidan berkata beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Arau, dengan berkata akan memilih parti yang menyokong Muafakat Nasional, pakatan kerjasama antara PAS dan Umno.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, Shukri Ramli, berkata perbincangan sedang dilakukan untuk meletakkan Shahidan sebagai calon PN.

Terdahulu, Zahid memberi amaran agar mereka yang digugukan daripada senarai calon BN tidak mengkhianati atau memfitnah gabungan itu kerana telah diberi banyak peluang kepimpinan sebelum ini. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:

Join our Telegram Channel
Telegram