#PRU15: Shahril Hamdan tanding di Melaka?



Melaka: Umno dan MCA dijangka melakukan pertukaran kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang membabitkan Parlimen Alor Gajah dan Tangga Batu.

Sumber memaklumkan, kata sepakat mengenai perkara itu dikatakan sudah dicapai antara kedua-dua pemimpin parti berkenaan menjelang detik pengumuman senarai calon BN, malam ini dengan calon MCA akan diletakkan di Tangga Batu, manakala Umno pula di Alor Gajah.

Kedua-dua kerusi Parlimen terbabit masing-masing kerusi tradisi bagi Umno dan MCA sebelum ini, namun pada PRU-14, kedua-duanya terlepas kepada pembangkang apabila calon Umno yang diletakkan di Tangga Batu dan calon MCA di Alor Gajah, tewas.


Dengan mengekalkan status quo empat kerusi Parlimen milik Umno dan dua kerusi untuk MCA, Barisan Nasional (BN) dijangka meletakkan calon yang berkaliber, berpengalaman serta `segar' sebagai langkah untuk memastikan kemenangan cemerlang di semua kerusi berkenaan.

Susulan pertukaran kerusi terbabit, BN dikatakan akan mempertaruhkan Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan di kerusi Alor Gajah pada PRU-15 ini.

Naib Ketua Pemuda Umno berusia 36 tahun itu, sebelum ini dikatakan akan dicalonkan di Parlimen Jasin, namun selepas beberapa siri rundingan dibuat, beliau yang juga Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri bakal dicalonkan di kerusi Alor Gajah.


Jika itu berlaku, Shahril Hamdan dijangka akan berhadapan saingan sengit apabila bakal berhadapan dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri yang juga bekas Ketua Menteri, Adly Zahari serta penyandang kerusi berkenaan mewakili Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

MCA pula dijangka menamakan Pengerusi MCA Melaka yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Lim Ban Hong di Tangga Batu, sekali gus bertanggungjawab merampas kerusi itu semula yang terlepas kepada PH pada PRU-14.

Calon PH, Rusnah Aluai dari PKR sudah dinamakan semula untuk mempertahankan kerusi berkenaan, manakala PN pula dijangka mencalonkan Pesuruhjaya Pas Melaka, Zulkifli Ismail. – Hmetro


ARTIKEL BERKAITAN:
 

Join our Telegram Channel
Telegram