UKM hentikan forum Fahmi Reza di kampus



BANGI: Pihak berkuasa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menghentikan forum artis grafik dan aktivis, Fahmi Reza di kampus itu petang tadi.

Forum bernama “Kelas Demokrasi” yang bermula 5 petang tadi di perkarangan Perpustakaan Tun Sri Lanang itu dihadiri lebih 200 pelajar.

Pasukan keselamatan UKM mengarahkan semua hadirin bersurai, hanya kira-kira 10 minit selepas forum itu bermula. Beberapa polis bantuan turut hadir.


Difahamkan, pihak pengurusan UKM berkata, acara itu memerlukan surat kebenaran untuk diadakan dalam kampus.

“Selepas hampir 10 minit program berlangsung dan Fahmi baru ingin memberikan penerangan, pihak UKM terus menutup pembesar suara.

“Kemudian, kami semua diminta bersurai,” menurut seorang wakil pelajar kursus Sarjana Muda Sains Politik UKM.

Fahmi berkata, forum itu akan diteruskan di luar kampus.

“Lokasi baharu ialah di Syarikat Kopi C&P, Seksyen 1 Bandar Baru Bangi,” katanya menerusi Twitter.


Kira-kira 100 pelajar masih menyertai forum itu selepas dipindahkan ke kafe berkenaan.

“Pihak berkuasa universiti sekat buat #KelasDemokrasi dalam kampus UKM? Tak apa, kita teruskan saja di luar kampus. #RakyatAdalahBoss,” tulisnya dalam Twitter.

FMT sudah menghubungi UKM untuk mengulas perkara ini.

“Kelas Demokrasi” yang disampaikan Fahmi pernah dianjurkan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA). – FMT





Join our Telegram Channel
Telegram