Banjir sudah dijangka, ‘bercuti luar negara’ bukan keputusan baik ketika rakyat ditimpa musibah, tegur TPM



PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menegur pemimpin yang “bercuti ke luar negara” walaupun banjir sudah boleh dijangka berlaku lebih awal.

Katanya, bercuti ke luar negara bukanlah keputusan terbaik ketika rakyat sedang berdepan kesusahan.

“Banjir boleh dijangka khususnya pada musim tengkujuh di Pantai Timur kerana perubahan monsun yang melibatkan faktor semula jadi dan geografi.

“Maka, mana-mana pihak perlu lebih bersedia menghadapinya. Bercuti ke luar negara misalnya bukanlah keputusan terbaik ketika rakyat yang memilihnya dahulu ditimpa musibah,” katanya dalam Facebook.


Semalam, Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan kekesalannya dan memohon maaf kerana tidak dapat bersama rakyat negeri itu ketika mereka berdepan banjir.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk menyatakan rasa kesal tak terhingga kerana saya tak dapat bersama mangsa banjir di lapangan terutama untuk tempoh 18 hingga 21 Dis.

“Saya tidak boleh memberi apa-apa alasan dan faham walau apa jua penjelasan yang saya berikan, penjelasan saya sudah tentu tidak bermakna apa-apa kerana ia tidak dapat membetulkan keadaan serta ketiadaan di negeri sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Binjai, Kemaman.

Katanya, beliau berada di luar negara selepas mendapati berlaku tanda penurunan situasi banjir di Terengganu, namun tempoh kemuncak bencana berlaku ketika ketiadaannya.


Dalam pada itu, Zahid berkata, faktor manusia juga menyumbang penyebab banjir besar sehingga mengakibatkan kawasan tidak pernah dilanda bencana itu turut menerima akibat.

“Kerakusan pembalakan haram dan penerokaan hutan secara tidak terkawal mengakibatkan ekosistem terjejas teruk. Kawasan tadahan hujan hilang fungsi,” katanya.

Katanya, semua kerajaan negeri diminta merancang lebih baik bagi persediaan berdepan banjir besar, termasuk melakukan langkah pencegahan bagi memastikan kerosakan alam sekitar tidak berpanjangan.

“Penguatkuasaan atau pembanterasan penerokaan hutan secara haram, penerokaan hutan tanpa peduli pemeliharaan alam sekitar perlulah dihentikan,” katanya. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:
 

Join our Telegram Channel
Telegram