Misteri kehilangan MB T’ganu ketika banjir besar jadi tanda tanya, Exco, Adun PAS kunci mulut



KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dipercayai telah kembali di Malaysia dari Auckland, New Zealand dan kini berada di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, setakat petang ini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan daripada kerajaan negeri termasuk Pejabat Menteri Besar berhubung keberadaan Ahmad Samsuri ketika ini.

Beberapa Exco kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Terengganu ketika dihubungi pula mengambil sikap ‘mengunci mulut’ dan enggan berkongsi maklumat mengenai lokasi Menteri Besar pada masa sekarang.


Kehilangan Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden Pas itu ketika banjir besar melanda negeri sejak Jumaat lalu menimbulkan kemarahan dan kekecewaan dalam kalangan penduduk negeri ini.

Usaha pihak media untuk mendapatkan pengesahan daripada kumpulan WhatsApp ‘Media Perdana’ juga tidak membuahkan hasil kerana tiada seorang pun berani tampil menjelaskan mengenai misteri kehilangan Ahmad Samsuri sehingga kini.

Sementara itu,  Ahmad Samsuri yang juga ADUN Rhu Rendang turut tidak muncul pada majlis lawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke kawasan terlibat banjir di Kampung Bukit Mentok, Kemaman, dekat sini, hari ini.


Akhbar hari ini melaporkan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Terengganu, Hanafiah Mat mengesahkan Menteri Besar itu berada di Auckland, New Zealand dijangka pulang hari ini.

Bagaimanapun, Hanafiah mendakwa tidak pasti masa ketibaan Ahmad Samsuri itu. – Utusan


ARTIKEL BERKAITAN:

Join our Telegram Channel
Telegram