Lebih 10,000 mohon sertai Muafakat Nasional, kata Annuar



PETALING JAYA: Bekas pemimpin Umno, Annuar Musa berkata, lebih 10,000 permohonan keahlian diterima NGO baharu, Muafakat Nasional, yang diketuainya.

Katanya, permohonan itu diterima hanya beberapa jam selepas keahlian pertubuhan itu dibuka secara dalam talian, semalam.

“Saya amat terharu betapa ramainya di luar sana anak bangsa yang prihatin terhadap agama, bangsa, dan negara serta cintakan muafakat.


“Tiba tiba saya merasa suatu kekuatan baru untuk terus berjuang bersama mereka yang jujur dan ikhlas,” katanya di Facebook.

Semalam, Annuar berkata, permohonan menyertai NGO itu mula dibuka kepada orang ramai menerusi laman muafakatnasional.org.my.

‘Muafakat Nasional’ merupakan nama sama merujuk kepada kerjasama antara Umno dan PAS, yang dibentuk pada 2019, iaitu setahun selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan, pada PRU14.


Annuar kemudian menyatakan beliau akan “mengaktifkan” NGO Muafakat Nasional dengan dirinya sebagai presiden, demi berperanan merapatkan kerjasama dan perpaduan dalam kalangan ummah serta mengukuhkan sistem politik, berdasarkan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

Bulan lalu, pembantu Annuar menjelaskan Muafakat Nasional bukannya parti politik, tetapi ia berdaftar sebagai NGO di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

Minggu lalu, Annuar dipecat Umno susulan kritikan terhadap presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi, selain didakwa membantu kempen parti musuh, pada PRU15. – FMT




Join our Telegram Channel
Telegram