Redzuan, Khairuddin sebaris dalam pimpinan Muafakat Nasional



KUALA LUMPUR: Ahli Parti Bangsa Malaysia, Zuraida Kamaruddin, yang juga bekas ketua wanita PKR, bersama penceramah terkenal, Ridhuan Tee Abdullah diumumkan menjadi anggota barisan pemimpin Muafakat Nasional.

Mereka antara 30 ahli dewan tertinggi MN yang diumumkan presiden NGO baharu itu, Annuar Musa, hari ini, di samping pemimpin Bersatu, Mohd Redzuan Md Yusof; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Zuhdi Marzuki; dan Pengerusi Pejuang Wilayah Persekutuan, Khairuddin Abdul Hassan, yang dianggap sebagai penyokong tegar bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.


“Saya bertemu beliau (Mahathir) semalam. Saya dapat mengatakan Mahathir memberikan sokongan yang kuat kepada MN. Mahathir turut lahirkan kebimbangan beliau tentang kedudukan orang Melayu dan berkata sebarang usaha untuk kebaikan negara dan orang Melayu, beliau akan sokong,” kata Annuar pada sidang media.

Katanya lagi, MN sedia bekerjasama dengan parti politik dan membantu pentadbiran Anwar Ibrahim.

Salah satu daripada lima matlamat MN, yang membariskan ahli politik pelbagai parti, ialah “memperkasakan agenda Islam, Melayu, dan Bumiputera secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan,” kata Annuar dalam kenyataan.

Turut menganggotai saf kepimpinan MN adalah pemimpin Umno, Noh Omar dan Budiman Zohdi; serta ahli PBM, Edmund Santhara.


Menurut Annuar, pendaftaran keahlian MN sudah mencecah 20,000 orang, dan dalam masa terdekat ia mahu melancarkan suatu “Sekolah Memahami Pemahaman Negara” dan menganjurkan jelajah ke seluruh negara.

Ia juga mahu mengadakan suatu sidang meja bulat dengan tokoh-tokoh masyarakat dan konvensyen.

Annuar turut memaklumkan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dan seorang lagi pemimpin PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, merupakan ahli MN. – FMT




Join our Telegram Channel
Telegram