Peminat bimbang, Ummi Nazeera tarik diri dari Muafakat Nasional



MENGAMBIL kira pandangan peminat mengenai tindakannya menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Muafakat Nasional (MN), pelakon Ummi Nazeera akhirnya menarik diri daripada persatuan berkenaan.

Ummi atau nama sebenarnya Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin, 32, berkata, dia membuat keputusan itu selepas memikirkan kebimbangan peminat dan orang sekeliling.

"Setelah mengambil kira kegusaran daripada peminat-peminat Ummi yang disayangi serta pihak-pihak berkepentingan... saya Ummi Nazeera mengambil keputusan untuk menarik diri daripada Muafakat Nasional, sebuah NGO," katanya


Ummi memaklumkan mengenai perkara itu menerusi laman Instagram pada Ahad.

Dalam pada itu, pelakon Rindu Kasih ini juga memberitahu dia menarik diri daripada pertubuhan itu kerana mahu memberikan fokus terhadap bidang lakonan dan keluarga.

Malah, dia turut mengucapkan terima kasih kepada MN kerana melantiknya sebagai Ahli Dewan Tertinggi.

"Ummi akan terus fokus berkarya dalam industri seni dan juga fokus kepada keluarga.


"Terima kasih atas kesudian MN melantik Ummi dan selamat maju jaya kepada mereka sebagai sebuah NGO. Terima kasih atas sokongan dan keprihatinan semua," ujarnya.

Pada Khamis lalu, suaminya iaitu Dr Mohd Izzar Anwari Abdul Khani, 35, tampil menjelaskan salah faham yang timbul berhubung penyertaan isterinya dalam pertubuhan MN.

Jelas Izzar, pertubuhan yang dikendalikan oleh Tan Sri Annuar Musa itu bukanlah untuk tujuan politik, sebaliknya sebuah badan amal membela masyarakat.

Untuk rekod, MN turut disertai oleh beberapa rakan artis lain termasuk Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Eizlan Yusof. – Mstar



Join our Telegram Channel
Telegram